Dera amah: Serahkan kepada polis untuk siasat - Konsulat Indonesia

Astro Awani
Februari 12, 2018 06:25 MYT
Pada Ahad, pembantu rumah Adelina, 21 tahun dari Medan, Indonesia meninggal dunia disyaki didera majikannya di sebuah rumah di di Taman Kota Permai, Bukit Mertajam. - Foto Astro AWANI
Pejabat Konsulat Indonesia di Pulau Pinang menyerah kepada pihak polis untuk menyiasat kes seorang pembantu rumah warganegaranya Adelina Lisao, 26 tahun yang meninggal dunia dipercayai didera majikannya semalam.
Naib Konsul General Indonesia di Pulau Pinang, Osrinikita Zubhana ketika dihubungi memaklumkan pihaknya memandangkan serius kes penderaan tersebut yang meragut nyawa rakyat negaranya dan berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan dengan terperinci.
Osrinikita berkata, pihaknya sedang menunggu laporan lengkap bedah siasat daripada pihak Hospital Seberang Jaya.
Mengulas lanjut mengenai wanita terbabit, beliau berkata pihak konsulat tidak pernah menerima laporan daripada mangsa bahawa dia pernah didera majikan sebelum ini.
Sementara itu, Ketua Polis Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan ketika dihubungi berkataz pihak polis masih mengesan ibu kepada dua adik beradik yang ditahan polis bagi membantu siasatan kes berkenaan.
BACA: Amah disyaki didera meninggal dunia
Katanya, wanita berusia dalam lingkungan 60an itu dipercayai telah meninggalkan rumah dan dibawa anak- anaknya ke lokasi yang tidak diketahui.
BACA: Amah didera majikan, dibiar tidur luar dengan anjing
Setakat ini pihak polis juga telah merakam percakapan beberapa keterangan saksi termasuk jiran mangsa dan pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan kes itu.
Pada Ahad, pembantu rumah Adelina, 21 tahun dari Medan, Indonesia meninggal dunia disyaki didera majikannya di sebuah rumah di di Taman Kota Permai, Bukit Mertajam.
Wanita itu ditemukan sedang duduk di kawasan luar pagar rumah majikannya oleh seorang wartawan sebelum memaklumkan perkara itu kepada pihak polis.
Mangsa juga dipercayai dipaksa majikannya tidur di luar rumah hanya beralaskan tikar dan ditemani anjing.
Susulan itu polis menahan reman dua beradik masing-masing lelaki dan wanita berusia 36 dan 39 tahun dipercayai ahli keluarga majikan pembantu rumah berkenaan.
Kes disiasat dibawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan.
#Adelina #amah #anjing #dera #Hospital Seberang Jaya #keluarga #majikan #mangsa #meninggal dunia #orang gaji #Osrinikita Zubhana #rakyat #rumah #Taman Kota Permai #tikar #wanita