Mahkamah Sesyen Kuantan menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun ke atas pembantu rumah warga Indonesia selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan mendera bayi lelaki berusia empat bulan, Jumaat lalu.

Menurut Hakim Mohd Azhar Othman, kesalahan dilakukan Yuliana, 23 tahun amat serius.

Bagi pertuduhan pertama, ibu kepada dua anak itu didakwa menghempas dan melambung Mohamed Hareez Mohamed Zamri sebanyak sembilan kali pada 7.45 pagi di kediaman ibu bapa mangsa di Jalan Bukit Setongkol, Kuantan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 301(1) Kanun Keseksaan.

Dalam pertuduhan kedua, dia didakwa menganiaya Mohamed Hareez dengan tujuan mendatangkan kecederaan yang boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Bagi kesalahan pertama, Yuliana dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan lima tahun penjara untuk kesalahan kedua.

Hakim Mohd Azhar memutuskan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak.

Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya Nor Azizah Mohamed.

Sebelum itu tertuduh tidak menunjukkan sebarang reaksi ketika menyaksikan rakaman CCTV perbuatannya.

Dia bagaimanapun menitiskan air mata ketika diminta mengemukakan rayuan hukuman.

Yuliana berasal dari Sukarame, Acheh bekerja tidak sampai sehari sebagai pembantu rumah dengan keluarga mangsa.