Seorang bapa muda terpaksa berdepan penderitaan apabila telah sembilan kali melalui proses pemotongan kaki kanan serta dua jari kaki kiri dalam tempoh tiga tahun akibat penyakit kencing manis yang dihidapinya.

Mohd Amir Idris, 30 tahun yang menetap di Taman Tambak Paya Permai, Melaka bersama isteri dan enam anak berkata, selaku ketua keluarga dia seperti hilang arah dan bingung memikirkan cara untuk meneruskan kehidupan seharian.

Walaupun pahit, ia terpaksa ditelan demi masa depan enam anak yang berusia tiga hingga sembilan tahun itu.

Perkara itu bermula apabila Mohd Amir yang sebelum ini bekerja sebagai operator kilang dengan pendapatan RM1,500 disahkan menghidap kencing manis kronik empat tahun lalu.

Keadaan kaki Mohd Amir yang dipotong akibat kencing manis. - Astro AWANI

“Sebelum ini, kami sekeluarga hidup serba sederhana dan bahagia dengan pendapatan RM1,500 sebulan.

“Namun, hari demi hari, keadaan semakin memburuk apabila kaki kanan saya mula membusuk hingga terpaksa melakukan pembedahan pertama dengan memotong bahagian tapak kaki pada tahun 2015,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di rumahnya, di sini.

Pelbagai ikhtiar dilakukan, namun kesihatannya bertambah buruk apabila terbaharu pada Ogos tahun lalu, Mohd Amir terpaksa menjalani pembedahan memotong kaki kanan hingga ke peha selain dua jari kiri kakinya terpaksa dibuang.

Keadaan kaki Mohd Amir yang dipotong akibat kencing manis. - Astro AWANI

Perkara itu merunsingkan dia selaku tonggak keluarga tidak mampu lagi bekerja hingga hilang sumber pendapatan sekali gus mengharapkan bantuan pihak luar.

Jelas bapa muda itu, sejak tempoh itu, dia menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan dan beberapa bentuk bantuan dari Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang membantu bil sewaan rumah sebanyak RM300 serta baucer makanan RM200.

“Berbekalkan wang bantuan itu, kami sekeluarga cukup-cukup makan. Tetapi apa yang berlaku sekarang adalah sudah tiga bulan elaun dari JKM tidak diterima atas alasan jabatan sedang melalui tempoh audit serta pertukaran pegawai,” katanya yang kini berkerusi roda.

Sementara itu, bagi isterinya, Nurwahida Adenan, 29 tahun, dia tidak mampu keluar mencari kerja memandangkan anak-anak masih kecil memerlukan perhatian sepenuhnya.

“Isteri mana yang tidak mahu membantu suami yang terlantar kesakitan. Namun, saya juga berdepan kekangan kerana terpaksa menjaga anak-anak yang masih kecil,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan meringankan beban keluarga ini boleh melakukan demikian menerusi akaun bank Nur Wahida Adenan (104023006541-Maybank) atau menghubungi terus ditalian 0172435174.