Desakan bayar hutang punca warga emas tembak rakan

Bernama
Jun 2, 2018 21:42 MYT
Chu Phan Hoo ditemui mati dipercayai menembak dirinya sendiri di dalam kereta jenis Toyota Fortuner, di Kampung Koh, Sitiawan, 1 Jun, 2018. - Gambar fail
Gara-gara tidak tahan sering diasak supaya membayar hutang perniagaan dipercayai punca seorang warga emas menembak mati rakannya sebelum bertindak membunuh diri dalam insiden di sebuah restoran di Kampung Koh dekat sini Jumaat malam.
Lelaki tersebut, Chu Phan Hoo, 62, ditemukan mati dipercayai menembak dirinya sendiri di dalam kereta jenis Toyota Fortuner di tepi bangunan kedai di Simpang Dua, kira-kira 10 kilometer dari lokasi dia menembak rakannya, Ling Iu King, 66.
Ling maut ketika dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan di Hospital Seri Manjung.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, SAC Yahya Abd Rahman berkata suspek dan mangsa telah minum bersama dan dipercayai mabuk sebelum berlaku perselisihan faham kira-kira 11 malam.
"Suspek telah menembak kaki mangsa dan kemudian semasa di hadapan kedai mangsa, ditembak lagi sebelum suspek kemudiannya melarikan diri bersama pistol mangsa," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.
BACA: Warga emas bunuh diri selepas tembak mati rakan
Yahya berkata pemeriksaan di dalam kereta suspek menemukan pistol jenis semi auto beserta kelopak peluru pada celah paha suspek dan senapang patah di tempat duduk sebelah pemandu.
"Kedua-dua mangsa dan suspek mempunyai lesen senjata api. Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.
-- BERNAMA
#bunuh #bunuh diri #Chu Phan Hoo #hutang #jenayah #Kampung Koh #Kanun Keseksaan #kereta #lesen #mabuk #mangsa #manjung #maut #restoran #senjata api #siasatan #suspek #tembak #warga emas #Yahya Abd Rahman