KUALA TERENGGANU: Keputusan Pilihan Raya Negeri yang baru berlalu menyaksikan Terengganu, buat pertama kali dalam sejarah tidak mempunyai pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memainkan peranan semak dan imbang.

Keadaan itu menimbulkan polemik apabila ramai yang ramai mempersoalkan siapa yang akan 'menegur' kepincangan pentadbiran kerajaan negeri khususnya ketika DUN bersidang berikutan kesemua wakil rakyat di dalam dewan adalah dari blok parti yang sama dengan kepimpinan kerajaan negeri.

Pensyarah Program Pengajian Polisi, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada blok yang sama tanpa pembangkang, bukanlah sesuatu yang 'sihat' kerana tidak akan wujud proses semak dan imbang secara efektif.

"Di dewan legislatif (DUN) sangat penting untuk ada pembangkang yang kritikal. Walaupun peranan semak dan imbang itu boleh dimainkan oleh backbencher (penyokong kerajaan), tapi fungsinya tidak akan sama dengan pembangkang yang konstruktif.

"Saya secara peribadi tidak berminat dengan politik monopoli...tapi yang menentukan terjadinya monopoli ini ialah rakyat yang telah memberi mandat penuh kepada parti dan secara tidak langsung membentuk monopoli dalam kerajaan," katanya kepada Bernama di sini, pada Selasa.

Bagi mengimbangi situasi itu, beliau berpandangan ADUN secara lantikan tanpa melalui proses pilihan raya boleh dilantik supaya semak dan imbang boleh berlaku dengan lebih berkesan terutama semasa persidangan DUN.

Mohd Yusri berkata lantikan beberapa ADUN termasuk daripada parti lawan tidak akan memberi kesan kepada kekuatan blok kerajaan negeri, kerana dominasinya telah ada, cuma 'bahtera' DUN itu tidak boleh dibiarkan 'belayar' tanpa ada lain-lain pihak selain parti memerintah.

Melontarkan pandangan serupa, Penganalisis politik Dr Mohammad Tawfik Yaakub yang berpendapat ADUN lantikan bukan sahaja mampu membawa isu rakyat dan menegur kekhilafan dalam pentadbiran kerajaan negeri, malah ia berupaya 'menyegarkan' amalan demokrasi.

"ADUN lantikan ini boleh dilantik sama ada individu yang aktif dalam badan bukan kerajaan (NGO), aktivis alam sekitar dan sebagainya dan saya percaya ia memberi persepsi lebih positif berbanding lantik orang daripada parti politik yang sama," katanya.

Sebelum ini sidang DUN Terengganu pada November 2018, buat pertama kalinya pernah melantik seorang wanita Zuraida Md Noor sebagai ADUN tanpa perlu melalui proses pilihan raya, mengikut peruntukan undang-undang tubuh kerajaan Terengganu.

Sementara itu, Yang Dipertua DUN Terengganu Datuk Yahaya Ali memberitahu lantikan ADUN tanpa melalui proses pilihan raya memang boleh dibuat mengikut undang-undang tubuh kerajaan dan perlembagaan negeri.

"Ya, ADUN boleh dilantik (berdasarkan syarat-syarat tertentu) tapi tidak melebihi empat orang," katanya.

Ditanya bagaimana proses itu boleh dilaksanakan dan adakah mereka boleh dilantik dalam kalangan aktivis, NGO atau mana-mana pihak, beliau berkata perkara itu perlu dirujuk terlebih dahulu kepada Perlembagaan negeri untuk perincian yang lebih jelas.

Pada PRN Sabtu lepas, Perikatan Nasional (PN) mencipta sejarah apabila menyapu bersih semua 32 kerusi DUN Terengganu, yang dimenangi 27 calon PAS dan lima calon Bersatu, sekali gus menjadikan DUN Terengganu buat pertama kali tanpa pembangkang sejak kemerdekaan.

-- BERNAMA