KUALA LUMPUR: Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Syarikat (Pindaan) 2023.

Rang undang-undang berkenaan melibatkan pindaan Akta Syarikat 2016 (Akta 777) bertujuan memastikan kerangka perundangan yang lebih kukuh dapat ditawarkan kepada sektor korporat untuk tempoh jangka panjang dengan menambah baik mekanisme penyelamat korporat dan rehabilitasi bagi syarikat yang menghadapi masalah kewangan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata sejak 2020, kementerian melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu sektor korporat menangani kesan negatif pandemik sehingga kini.

Semasa menggulung perbahasan rang-undang itu, Fuziah berkata kementerian juga mahu mengukuhkan kerangka pelaporan dan penzahiran maklumat pemunyaan benefisial.

Pengukuhan ini akan dilaksanakan dengan mengambil kira perkembangan terkini di peringkat antarabangsa dalam memerangi aktiviti pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan, rasuah dan pengelakan cukai.

Usaha itu dilakukan bagi melindungi pihak korporat daripada disalah guna bagi tujuan jenayah serius yang berselindung di sebalik entiti perniagaan.

Rang Undang-Undang Syarikat (Pindaan) 2023 diluluskan di Dewan Rakyat pada 28 November.

-- BERNAMA