NATIONAL
Dewan Negara lulus RUU Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025

Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 yang bertujuan meningkatkan kualiti, kecekapan, dan keberkesanan perkhidmatan kerajaan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 yang bertujuan meningkatkan kualiti, kecekapan, dan keberkesanan perkhidmatan kerajaan.
RUU itu yang juga bertujuan menghapuskan peraturan, garis panduan serta arahan pentadbiran lapuk atau tidak relevan diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas 10 Ahli Dewan Negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa ketika membentangkannya untuk bacaan kali kedua berkata RUU itu bagi menyokong pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang berkuat kuasa 1 Dis 2024 sebagai komitmen kerajaan memperkukuh tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dan komuniti perniagaan.
"Secara keseluruhannya, RUU ini merupakan anjakan besar ke arah perkhidmatan yang lebih cekap, responsif dan mesra rakyat selaras dengan kehendak semasa dan cabaran masa depan."Selaras dengan hasrat Perdana Menteri untuk melaksanakan reformasi ke atas kecekapan perkhidmatan kerajaan, maka kerajaan berpendapat pelaksanaan RUU ini boleh selesaikan permasalahan utama dihadapi rakyat termasuk berkaitan urusan harian, perniagaan serta akses kepada perkhidmatan kerajaan," katanya.
Selain itu, Dewan Negara turut meluluskan RUU Perkhidmatan Bomba (Pindaan) 2025 antaranya bertujuan untuk memasukkan peruntukan bagi pendaftaran Pasukan Bomba Sukarela.
RUU bertujuan meminda Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) itu juga mengandungi peruntukan untuk pendaftaran perunding keselamatan kebakaran, firma perunding keselamatan kebakaran, individu kompeten, kontraktor keselamatan kebakaran, penyedia latihan dan pengajar serta kelengkapan dan pemasangan keselamatan kebakaran.
Selain itu, RUU berkenaan memasukkan seksyen baharu 50A yang berkaitan dengan penyamaran sebagai Pegawai Bomba, Pegawai Bomba Bantuan dan Pegawai Bomba Sukarela.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami