KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengimport sekurang-kurangnya dua hingga 10 juta biji telur sehari mulai Khamis bagi menampung keperluan dan permintaan pasaran tempatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kelulusan pengimportan itu agar rakyat tidak terlalu terbeban dengan kenaikan harga barang, selain memastikan bekalan makanan mencukupi.

"Kemasukan pertama pada 15 Disember melibatkan sehingga 100,000 biji telur dan mulai 22 Disember, pengimportan di antara 2 juta hingga 10 juta biji telur sehari akan dilaksanakan sehingga bekalan menjadi stabil," katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Perdana Menteri berkata demikian ketika membentangkan usul Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Wang Masuk) 2022 bagi bacaan kali kedua.

Selain itu, Anwar berkata kerajaan juga bersetuju untuk tidak menaikkan tarif elektrik kepada semua pengguna domestik dan para pengusaha mikro, kecil dan sederhana (PMKS) seperti restoran, bengkel kecil, kedai runcit, petani, dan pekebun.

"Berdasarkan rangka kawal selia industri elektrik, kenaikan kos bahan api sepatutnya dilepaskan kepada semua pengguna melalui kenaikan tarif elektrik.

"Jemaah Menteri telah membuat keputusan supaya tarif bagi semua pengguna isi rumah domestik dan perniagaan PKS tidak akan dikenakan sebarang kenaikan tarif menjelang 1 Januari 2023.

"Hanya syarikat besar dikenakan kenaikan dan dengan itu, kerajaan akan menanggung subsidi lebih RM10 bilion bagi tempoh enam bulan pertama 2023.

"Ini selaras dengan pendekatan pentadbiran ini untuk melindungi rakyat biasa dan perniagaan PMKS," ujar Anwar.