Khairy sebelum itu memberikan soalan tambahan kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berhubung isu Bantuan Sara Hidup (BSH) yang disifatkan Kor Ming sebagai satu provokasi.
"Dulu BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) ada kategori bujang RM450, kalau BN (Barisan Nasional) menang hari itu, naik RM600. BSH asalnya tidak ada kategori bujang, tetapi bersempena dengan PRK (pilihan raya kecil) Semenyih diumumkan RM100 kepada bujang.
"Disebabkan kalau digunakan alasan tidak ada duit, saya nampak ada Rang Undang-Undang Perbelanjaan tambahan RM19 bilion, mungkin sempena PRK Rantau ini BSH akan diumumkan dan dinaikkan kepada RM450 seperti dibuat BN dulu," ujar Khairy kepada Guan Eng.
Kor Ming kemudian menegur Khairy agar memberikan soalan dan bukan ulasan.
Khairy bagaimanapun bertanya kepada Timbalan Speaker itu sama ada beliau ada masalah dengan soalan komprehensif dan menyelitkan perkataan "Taliban".
"YB Rembau, apa soalan?" tanya Kor Ming.
"Ada masalah komprehensif, Taliban?" soal Khairy kembali.
"YB Rembau, sila tarik balik," balas Kor Ming.
"Taliban yang mana? Saya tarik balik Taliban, ada masalah komprehensif Speaker?" jawab Khairy.
Susulan itu, Kor Ming menasihatkan anggota Dewan Rakyat agar tidak melakukan provokasi dan menjadikan apa yang dilakukan Khairy sebagai iktibar.
"Inilah dia, kita tidak saling iktibar. Bila kita hendak pastikan Dewan ini berjalan dengan lancar, tetapi nampaknya ada provokasi. Ini sikap yang tidak patut kita belajar," katanya sebelum memberi peluang kepada Guan Eng meneruskan perbahasan.