KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan Datuk Seri Hamzah Zainuddin agar melihat temu bual beliau bersama CNN secara keseluruhan dan tidak hanya berpandukan kepada versi yang disunting.

Menurut Perdana Menteri, terdapat unsur khianat pihak tidak bertanggungjawab yang bertindak menyunting video wawancaranya bersama media antarabangsa itu baru-baru ini.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap ‘sindiran’ Hamzah (PN - Larut) di Dewan Rakyat pada Isnin ketika bangun membangkitkan persoalan berkenaan Ekonomi Madani.

“Ini adalah jawapan yang baik. Sepatutnya jawab masa CNN tanya hari itu sebab itu saya tanya semula.

“Cuma saya nak soalkan bila kita bercakap Ekonomi Madani untuk perkasa rakyat, soalnya apakah keterjaminan atau kemampanan ekonomi yang dirancang itu benar-benar dapat mencapai sasarannya.

“Ini kerana apabila selepas setahun, banyak masalah kos sara hidup dalam negara kita. Saya ingin mempersoalkan bagaimanakah perancangan secara terperinci harus dibentangkan?

“Ia adalah supaya semua rakyat tahu bahawa kita boleh bersama membantu masalah kos sara hidup dalam negara?” soal Hamzah.

Perdana Menteri kemudian menjawab: “Merujuk temu bual CNN, saya syorkan Larut lihat keseluruhan temu bual itu dan tidak lihat ‘cut and paste’ yang dibuat.

“Kita telah pun tunjukkan yang dikeluarkan CNN yang memberikan liputan sepenuhnya, tapi ada unsur khianat yang memotong menunjukkan tidak ada jawapan lengkap.

“Kemudian ada dialog yang memberi penjelasan lengkap. Cuma untuk Yang Berhormat, jangan baca yang cut and paste…baca yang sepenuhnya.

“Kedua, saya setuju cadangan Larut perlu ada keterangan kepada rakyat lebih terperinci sebab itu saya syorkan baca Ekonomi Madani bersama kajian separuh penggal dan Transisi Tenaga…Pelan Perindustrian yang cerakin secara terperinci pergerakan program,” katanya.