KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan pindaan Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Amanah Negara 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. 

Pindaan itu bertujuan bagi membolehkan kerajaan mengekalkan penggunaan dana KWAN bagi maksud “pemerolehan vaksin, dan apa-apa perbelanjaan yang dilakukan berhubung dengan vaksin bagi suatu wabak apa-apa penyakit berjangkit".

Usul itu diluluskan menerusi undian suara selepas dibahaskan oleh lebih 10 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Sewaktu menggulung, Tengku Zafrul berkata, penggunaan keseluruhan dana KWAN yang menghampiri RM6 bilion itu merangkumi 63 peratus daripada perolehan terkumpul dana berkenaan sehingga Disember 2020.

Jelasnya lagi, sehingga September 2021, RM3.72 bilion telah dibelanjakan bagi perolehan vaksin, dan juga pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

“Dari segi baki dana keseluruhan KWAN, impak jangka pendek ialah pengurangan saiz dana sehingga 23 peratus, serta anggaran kerugian bersih sebanyak RM4.3 bilion bagi tahun terakhir 2021.

“Dalam usaha memastikan kemampanan dana dalam jangka masa panjang panjang, kita mesti meningkatkan semula dana KWAN, dan kita mensasarkan penambahan dengan perbanyakkan lagi bilangan penyumbang,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul menjelaskan, kerajaan telah memutuskan untuk memperoleh enam juta dos tambahan vaksin COVID-19, di samping menjelaskan, ia mencukupi untuk merangkumi sehingga 140 peratus jumlah penduduk di negara ini.

“Tetapi ini bukan pembelian berlebihan. Ia akan digunakan untuk remaja seperti diberikan kepada 12 – 17 tahun. Dan juga booster shot atau dos ketiga, terutamanya kepada barisan hadapan, dan barisan berisiko tinggi,” katanya lagi.