KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dalam proses meminda Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata ia kini berada di peringkat semakan dan penelitian kementerian sebelum diangkat untuk kelulusan Jabatan Peguam Negara.

Jelas beliau, pindaan terhadap Akta 655 dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jun, melibatkan tiga perkara utama terhadap aktiviti pencemaran air.

"Ia melibatkan tiga perkara utama bertujuan meningkatkan tahap hukuman dan kadar denda kepada tindakan yang berisiko pencemaran kepada mana-mana alur air atau sistem bekalan air.

"Dalam hal ini, peningkatan melibatkan denda daripada RM100,000 kepada RM10 juta, manakala hukuman penjara dinaikkan daripada setahun kepada 15 tahun atau kedua-duanya sekali.

"Kedua, ia melibatkan penyenaraian kesalahan-kesalahan baharu seperti apa-apa perbuatan yang menyebabkan atau yang mungkin menyebabkan penutupan sistem bekalan air kepada pengguna dengan melepaskan apa-apa kumbahan, benda atau bahan.

"Ketiga membolehkan pemegang lesen dan pengguna air menuntut semula kos bagi memulihkan semula kos sistem bekalan air yang dicemari daripada pihak yang didapati bersalah.

"Ini melibatkan Seksyen 121 dan Seksyen 122 Akta 655," katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Terdahulu, Tuan Che Alias Hamid (PN-Kemaman) minta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan sejauh mana komitmen kementerian untuk meminda Akta 655 dengan mengenakan hukuman dan denda yang lebih tinggi terhadap pencemar bekalan air bagi menangani pencemaran air yang berleluasa sehingga menyebabkan kekerapan berlaku gangguan bekalan air.

Menjawab pertanyaan, Ahli Parlimen Setiawangsa itu berkata kementerian juga berhasrat meneruskan pindaan terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling1974 (AKAS 1974).

Katanya, AKAS 1974 dalam proses pindaan sebelum Parlimen dibubarkan lagi, dan ia akan dilaksanakan secara berperingkat.

"Pindaan pertama melibatkan kompaun dan penalti bagi memastikan tindakan tegas terhadap pelaku dan pesalah pencemaran alam sekitar

"Pindaan fasa satu ini sedang dimurnikan dan dijangka dibentang di Parlimen pada suku keempat 2023, dan pindaan fasa kedua untuk memperkasakan akta tersebut secara menyeluruh sedang diperhalusi.

"Kita akan mengadakan sesi libat urus bersama pemegang taruh," tambahnya dalam sidang media di Parlimen.