KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini sebulat suara meluluskan usul untuk meningkatkan had statutori hutang negara kepada 65 peratus.

Usul yang dibawa oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz itu diluluskan menerusi undian suara selepas dibahaskan oleh lebih 30 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Ia melibatkan pindaan kepada Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) (Pindaan) 2021, bagi membolehkan tambahan dana Kumpulan Wang COVID-19 sebanyak RM45 billion.

Dalam penggulungannya, Tengku Zafrul berkata, RUU tersebut berkuat kuasa sehingga 31 Disember 2022, dan selepas itu ia akan kembali kepada had statutori asal, iaitu 60 peratus.

“Kalau lihat Akta 830, ia akan tamat pada 31 Disember tahun depan. Kuasa had itu akan tamat pada masa sama. Had statutori akan dikuatkuasakan berdasarkan Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 (Akta 637) dan Akta Pendanaan Kerajaan 1983 (Akta 275).

"Dalam hal ini, seperti saya sebut, kalau perlu melanjutkan tempoh ini, had ini akan dikekalkan pada 65% untuk beri ruang pemulihan ekonomi,” katanya lagi.

Terdahulu sewaktu membentangkan pindaan tersebut, Tengku Zafrul berkata, akan memastikan sokongan berterusan khususnya supaya golongan B40 dan Keluarga Malaysia yang terkesan mendapat bantuan bagi meringankan beban mereka.

Ia juga bertujuan untuk mengukuhkan sistem kesihatan awam terutamanya bagi membendung penularan wabak COVID-19 serta merawat pesakit COVID-19, dan menyokong kelangsungan perniagaan, terutamanya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta PKS mikro, ujarnya.

Dalam pada itu Tengku Zafrul berkata, kerajaan menyedari perlu ada usaha untuk mengawal perbelanjaan dan memastikan sasaran pengurangan defisit fiskal dapat dicapai, seperti mana yang tergaris dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri) dalam RMK-12 pun telah mengumumkan supaya defisit dikurangkan pada 2025, antara 3 hingga 3.5 peratus. Kita tak boleh tiba-tiba set the engine down, but we have to slowly meet back our target,” katanya lagi.

Ketika menjawab soalan di peringkat jawatankuasa, Tengku Zafrul berkata, kerajaan akan menggunakan program sedia ada demi mendapatkan dana tambahan RM45 bilion bagi KWC-19.

Jelasnya lagi, ia akan dilakukan seratus peratus melalui program pinjaman kerajaan, dan tidak akan menggunakan sumbangan dari syarikat berkaitan kerajaan (GLC), atau kaedah berlainan daripada program hutang biasa seperti penerbitan sukuk dan sebagainya.