KUALA LUMPUR: Ekoran kegagalan Ahli-ahli Parlimen Kerajaan untuk hadir ke Dewan Rakyat, usul Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkahlangkah Khas) 2012 bagi tempoh lima tahun lagi, gagal melepasi undi belah bahagi.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun ketika mengumumkan keputusan itu berkata, yang bersetuju dengan usul tersebut ialah seramai 84 orang, manakala tidak bersetuju seramai 86 orang.

Sementara itu, katanya lagi, 50 lagi Ahli Parlimen gagal menghadirkan diri.

“Ini adalah keputusan undian belah bahagi untuk usul yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Menteri tadi. Yang bersetuju 84, yang tidak bersetuju 86, tidak hadir 50. Maka usul seperti dikemukakan tidak dipersetujui,” katanya lagi.

SOSMA: Usul dikemukakan Menteri Dalam Negeri tidak dipersetujui

BACA: Subseksyen 4(5) SOSMA 2012 perlu dilanjutkan lagi lima tahun - Hamzah 

Sejurus selepas itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mas Ermieyanti memohon agar Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2022 ditangguhkan ke mesyuarat seterusnya.

Pada permulaan sesi sebelah petang hari ini, Kerajaan telah mencadangkan kepada Dewan Rakyat untuk melanjutkan subseksyen 4(5) di bawah Akta SOSMA 2012, bagi tempoh lima tahun lagi.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin ketika membentangkan usul itu berkata, kali terakhir tambahan lima tahun bagi subseksyen tersebut disemak dan diluluskan oleh Parlimen, ialah pada 4 April, 2017, dan ia akan berakhir pada 31 Julai ini.

Jelas Ahli Parlimen Larut itu lagi, sejak lima tahun subseksyen 4(5) SOSMA 2012 ini dilanjutkan pada 2017, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menggunakan sebaiknya peruntukan perundangan yang ada demi melindungi Malaysia dari ancaman-ancaman keselamatan, dan ketenteraman awam.

Terdahulu Dewan Rakyat sedikit kecoh apabila terdapat cubaan beberapa Ahli-ahli Parlimen dari Blok Kerajaan, termasuk beberapa Menteri untuk memasuki dewan, biarpun proses undian selama 10 minit telah hampir tamat.

Biarpun terdapat usaha untuk memasukkan undi tersebut ke dalam jumlah keseluruhan undian, namun Azhar tegas untuk tidak membenarkannya.