KUALA LUMPUR: Kementerian Perladangan dan Komoditi menyedari bahawa wujud pelobi-pelobi iaitu pesaing yang melihat  sektor sawit termasuk produk keluaran Malaysia sebagai pesaing mereka.

Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, keadaan itu dilihat 'memberi kekangan'  untuk Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) diiktiraf di peringkat global.

Justeru, katanya, kementerian sedang melakukan rundingan dengan Kesatuan Eropah (EU) untuk menerima pakai sijil yang dibangunkan di Malaysia.

"Sebab (sijil) ianya memenuhi kriteria yang diperlukan oleh keperluan peringkat dunia sekalipun, termasuk Eropah.

"Tetapi kita kena sedar bahawa dalam konteks dunia sekarang ini ialah persaingan.

"EU mereka meletakkan seolah-olah apa yang diperkenalkan (sjil pengiktirafan) ini sebagai untuk memenuhi keperluan alam sekitar. Tetapi pada masa sama, kita sedar bahawa ada pelobi-pelobi iaitu para pesaing yang melihat bahawa mereka tidak mampu untuk bersaing dengan kelapa sawit.

"Ini kerana, kelapa sawit dalam dunia (adalah produk) yang paling produktif, sihat dan lebih mesra," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) yang bertanya apakah langkah yang kita perlu laksanakan untuk memastikan sawit boleh diterima oleh dunia sebagai satu sumber minyak terbaik.

Tambah beliau, kementerian berusaha menjalin kerjasama khususnya dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (RnD) termasuk bersama saintis dari Eropah untuk mengesahkan bahawa minyak sawit negara ini adalah sihat dan mesra alam.

Ujar Fadilah lagi, apa yang berlaku ketika ini seolah-olah wujud ketidakadilan dan pendekatan kementerian adalah melakukan sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk perundangan, pembuat dasar serta Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Sementara itu, beliau memaklumkan Malaysia dan Indonesia serta Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) telah menyampaikan pendirian dan kebimbangan  mengenai pelaksanaan European Union Deforestation Free Regulation (EUDR) kepada EU.

Malaysia dan Indonesia, ujarnya menyifatkan tindakan EU sebagai suatu hukuman dan mendiskriminasi sektor agrikomoditi negara serta memberi impak negatif ke atas rantaian bekalan komoditi terbabit, khususnya sektor sawit.

Perkara itu, ujarnya dimaklumkan ketika Misi Bersama Malaysia dan Indonesia ke EU melalui CPOPC di Brussels, Belgium pada 30 dan 31 Mei ini.

Dalam masa yang sama, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Alam Sekitar di bawah Suruhanjaya EU, Florika Fink-Hooijer pada 28 Jun ini, bagi membincangkan isu pelaksanaan EUDR.