Menginjak usia 94 tahun, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memulakan tugasnya di Parlimen.

Beliau yang tiba seawal jam 8.10 pagi, dijadual menghadiri satu mesyuarat berkaitan pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan, iaitu menurunkan had umur pengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Selain dihadiri oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun, turut dilihat hadir adalah Peguam Negara, Tommy Thomas; Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (PH-Pagoh); Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (PH-Muar).

Selain itu, turut kelihatan adalah pemimpin-pemimpin pembangkang seperti Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera); Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Baharu); Datuk Seri Fadillah Yusof (GPS - Petrajaya), Datuk V. Saravanan (BN-Tapah); Datuk Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) dan Datuk Seri Mahadzir Khalid (BN-Padang Terap).

Dr Mahathir kemudian dijadual menjawab soalan pertama sesi jawab lisan di Dewan Rakyat berhubung langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan untuk memulihkan prestasi Malaysia Airlines Berhad (MAB).




Negarawan ulung yang muncul sebagai Perdana Menteri tertua di dunia itu dilahirkan pada 10 Julai 1925 namun tarikh kelahiran rasminya direkodkan pada 20 Disember 1925 di Kampung Seberang Perak, Alor Setar, Kedah.

Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri yang keempat Malaysia pada 16 Julai 1981, menyandang jawatan itu untuk tempoh yang paling lama dalam sejarah Malaysia dan Asia Tenggara, iaitu selama 22 tahun.

BACA: Wajah 94 tahun Tun M yang masih digeruni di pentas dunia

Dikenali sebagai Bapa Pemodenan di atas kejayaan beliau menukarkan Malaysia dari sebuah negara pertanian kepada negara perindustrian moden.

Selepas meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 31 Oktober 2003, Dr Mahathir muncul kembali di arena politik apabila menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menentang kerajaan Barisan Nasional.

Pada tahun 2018, dalam satu kejutan politik yang tidak disangka-sangka, Bersatu dan parti-parti bersekutunya iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP berjaya memenangi PRU14.