'Dia lupa peluk saya...' - Ibu pelajar maut jatuh balkoni

Sinar Harian
Disember 29, 2023 09:00 MYT
Menurut Fazlina dia seakan tidak menyangka gurauan itu yang terakhir sebelum anak sulong dari tiga beradik itu akan pergi meninggalkan keluarga buat selamanya.
 - Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Dia pernah kata cita-cita hendak jadi polis, kami sekeluarga tahu dia bergurau kerana dia (arwah) pakai cermin mata, kata Fazlina Fuad, 47, ibu kepada Adly Zarkasyi Alzafry, 18 yang maut akibat terjatuh daripada tingkat 34 kondominum di Kampung Baru pada Selasa lalu.
Menurut Fazlina dia seakan tidak menyangka gurauan itu yang terakhir sebelum anak sulong dari tiga beradik itu akan pergi meninggalkan keluarga buat selamanya.

“Pagi itu sebelum hantar ke asrama dia lupa peluk saya seperti kebiasaannya jadi saya tegur tak nak peluk mak ke, jadi (dia) macam seolah-olah terpinga-pinga dan terus peluk saya.
“Macam tak percaya perkara yang berlaku terlalu pantas. Pada mulanya kami sangka panggilan yang dibuat oleh polis memaklumkan tentang kejadian ini adalah ‘scam’ semata-mata ini kerana dia sempat membuat panggilan video beberapa jam sebelum itu.
“Arwah menghubungi kira-kira pukul 6.30 petang ketika kami dalam perjalanan untuk pulang ke kampung suaminya di Kangar, Perlis, pada petang Selasa,” katanya ketika ditemui di rumahya di Denai Alam pada Jumaat.
Jelasnya, Allahyarham yang merupakan pelajar semester 2 Diploma Teknologi Maklumat (IT) maklumkan yang kelasnya pada hari itu (Selasa) hanya dibuat secara dalam talian, jadi dia beli tiket bas untuk balik juga ke Kangar untuk perjalanan Khamis,” katanya.
Ditanya mengenai baju yang cuba diambil dari balkoni rumah hingga menyebabkan kemalangan itu berlaku, Fazlina memaklumkan bahawa dia tidak pernah melihat anak sulungnya itu memakai baju tersebut kerana baju itu mungkin baru dibeli arwah.
"Kebelakangan ini, (dia) gemar beli barang di kedai bundle (barangan terpakai) dan mungkin baju itu pun dia beli dari kedai bundle.
"Saya dimaklumkan rakan serumahnya bahawa mereka sudah melarang Adly Zarkasyi daripada memanjat balkoni kerana baju itu tersangkut pada balkoni.
"Tapi dia mahu juga ambil baju itu. Tapi tak apalah. Kami sekeluarga reda dengan pemergiannya," ujarnya.


Dalam kejadian pada pada Selasa lalu, Allahyarham Adly Zarkasyi dilaporkan terjatuh daripada tingkat 34 kondominium dalam cubaannya mengambil bajunya yang tersangkut di bahagian balkoni.
Jenazah Allahyarham sudah dikebumikan di tanah perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam pada petang Rabu.
Terdahulu Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut hadir menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga itu pada Jumaat.
Beliau bersimpati dan menyifatkan tragedi yang berlaku juga di luar jangkaan.
“Terdapat 20 unit penthouse di kondominium itu menjadi hostel kepada 400 pelajar Universiti Kuala Lumpur.
“Saya nasihatkan agar pelajar yang tinggal di situ sentiasa menjaga keselamatan diri masing-masing bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian
#maut jatuh balkoni #pelajar #tingkat 34 kondominum #Kampung Baru #baju tersangkut