Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam menggesa semua doktor di hospital kerajaan dan swasta agar melakukan diagnosis denggi terhadap pesakit yang mengalami demam atau sakit-sakit badan.

Beliau berkata ini bagi mengesan kehadiran virus itu dari peringkat awal sekali gus mengelak kematian akibat demam denggi.

"Kita lihat seperti kes sebelum ini, mereka yang mendapat denggi tidak dikesan lebih awal dan bila didiagnosis pengesahan denggi hanya diperoleh dalam tempoh tiga hingga empat hari dan tempoh itu agak lama," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demam denggi lazimnya menyebabkan kematian dalam kalangan penghidap asma, jantung dan kencing manis.

Dr Subramaniam berkata jangkitan denggi kali ini juga lebih serius dan menyebabkan lebih banyak kerosakan organ dalaman seperti hati dan buah pinggang.

"Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sedang menjalankan kajian faktor peningkatan wabak termasuk perubahan stereotaip virus denggi selain kekuatan virus yang bertambah," katanya.

Menurut Dr Subramaniam wabak denggi turut berlaku di negara-negara jiran antaranya Singapura yang mencatat 600 kes, selain selatan Thailand dan Filipina.

Katanya bagi tempoh Januari hingga 28 Jun lepas, Malaysia merekodkan 44,518 kes denggi berbanding 31,660 kes bagi tempoh sama tahun lepas, iaitu meningkat 12,858 kes.

Beliau juga berkata pasukan petugas khas bagi menangani denggi yang diketuai Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual mengadakan mesyuarat pertama pada 14 Julai ini.