Dialog Tiga Penjuru: Polemik UEC.. Pengiktirafan, kemasukan ke IPTA dan silibus patriotisme

Isu pengiktirafan sijil UEC dibahas dari aspek sejarah, cadangan peperiksaan kelayakan ke IPTA, dan keselarian dengan dasar pendidikan negara. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Polemik mengenai pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) kembali hangat apabila Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming pada Selasa dilaporkan berkata, partinya akan berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meminta UEC diiktiraf.
Ringkasan AI
- Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dari DAP, akan berjumpa dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk meminta pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).
- Dialog Tiga Penjuru menyorot keperluan bentuk pengiktirafan UEC yang sebenarnya, dengan sejarah iktirafan sejak 1975, menimbulkan soalan tentang nilai tambah kepada pembangunan negara.
- Pengkaji menggesa penyelarasan UEC dengan sistem pendidikan negara dan menitikberatkan semakan semula silibus sejarah UEC untuk memperkukuh pengetahuan negara dan semangat patriotisme.
Mahu iktiraf apa lagi?
Semasa dialog tersebut, Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad mempersoalkan bentuk pengiktirafan yang sebenarnya diharapkan oleh pihak yang memperjuangkan UEC, memandangkan sijil tersebut dibenarkan dilaksanakan secara berterusan dalam negara sejak 1975.
“Ini ketika Tun Mahathir Mohamad menjadi Menteri Pelajaran pada 1975. Kemudian pada tahun 2012, ketika Datuk Seri Najib Razak menjadi Menteri Pendidikan sebelum diambil alih oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Kementerian Pendidikan ketika itu juga telah beri pengiktirafan separa kepada UEC. Maksudnya UEC pernah diiktiraf kerana ketika itu kita perlukan lebih ramai guru-guru Bahasa Cina,” katanya.
Apabila ditanya kepada Pengarah Institut Kajian Sosial Tun Tan Cheng Lock, Prof. Madya Dr. Chin Yee Mun sama ada wujud keperluan untuk mengiktiraf sijil berkenaan, beliau berkata isu ini perlu dilihat daripada sudut nilai tambah kepada pembangunan negara.
“Kalau saya ditanya (mengenai pengiktirafan UEC), bukan soal sokong atau tidak sokong. Kita mahu lihat sama ada pengiktirafan UEC ini boleh bantu negara kita dalam bentuk ekonomi. Kalau wujud isu-isu seperti mencabar naratif pembangunan negara bangsa kita, maka kita harus lihat kaedah untuk sesuaikan UEC dengan sistem pendidikan nasional negara,” ujarnya.
Terima UEC sebagai kelayakan ke IPTA
Mengulas mengenai akses ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Ibrahim Sani menegaskan perdebatan terhadap UEC bukan bersifat kualiti akademik, tetapi berkaitan ketiadaan mata pelajaran teras seperti sejarah, geografi dan Bahasa Malaysia yang menjadi asas syarat kemasukan ke IPTA.
“Pada pandangan saya, iktiraf UEC untuk layak masuk IPTA, tetapi tetapkan syarat tambahan berkaitan mata pelajaran tambahan yang diperlukan,” katanya.
Menurut Ibrahim ketika ini terdapat isu pendidikan lain yang lebih mendesak yang memerlukan perhatian, dan pengiktirafan UEC seperti yang dicadangkan hanya akan memberi kesan kepada ratusan lepasan UEC, kalau tidak ribuan.
Namun, dalam hal ini, Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad menyatakan kebimbangan mengenai kesan jangka panjang jika pengiktirafan ini diluluskan.
Anuar mengingatkan kemungkinan kesan gelombang pilihan aliran pendidikan jika UEC diiktiraf sebagai kelayakan masuk IPTA tanpa garis panduan yang tuntas, khususnya menyentuh bahasa pengantar.
“Saya sebagai seorang bapa, pastinya pilihan saya adalah menghantar anak-anak ke sekolah yang mengajar dalam bahasa ibunda.
“Maka, selepas pengiktirafan UEC ini berlaku, kita akan nampak kesan besar apabila akan ada SJK(C) juga menuntut untuk benar UEC ditawarkan di sekolah berkenaan memandangkan sijil itu sudah diiktiraf oleh kerajaan,” katanya.
Semak semula silibus UEC
Pada masa sama, Yee Mun mengakui Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) perlu menilai semula silibus sejarah yang ditawarkan UEC agar memperkukuh pengetahuan mengenai negara dan semangat patriotisme.
“Pihak Dong Zong perlu kaji semula silibus mata pelajaran sejarah mereka, sama ada silibus tersebut berkaitan dengan sejarah Malaysia atau sebaliknya.
“Jika tidak ada pengkhususan sedemikian maka ia perlu ditambah. Perkara yang penting, mata pelajaran sejarah ini menambah pengetahuan mengenai negara kita dan semangat patriotisme,” ujarnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


