Skip to main content

Dunia

AS kecualikan deposit visa untuk peminat Piala Dunia

FILE - President Donald Trump shakes hands with FIFA President Gianni Infantino as he presented with the inaugural FIFA Peace Prize during the 2026 FIFA World Cup draw at the Kennedy Center, Dec. 5, 2025, in Washington. (AP Photo/Evan Vucci, File)
Pengecualian itu diberikan kepada penyokong yang melakukan perjalanan ke negara itu bagi menyaksikan kejohanan berkenaan. - Foto AP

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengecualikan peminat bola sepak dari 50 negara daripada keperluan deposit visa sebanyak AS$15,000, dengan syarat mereka memiliki tiket sah untuk menghadiri Piala Dunia 2026.

Jabatan Negara AS memaklumkan pengecualian itu diberikan kepada penyokong yang melakukan perjalanan ke negara itu bagi menyaksikan kejohanan berkenaan, yang akan berlangsung di AS, Kanada dan Mexico bermula 11 Jun.

Sebelum ini, pelancong dari negara terbabit dikehendaki membayar deposit sebagai jaminan bagi mengelakkan mereka tinggal melebihi tempoh visa.

Deposit tersebut akan dipulangkan selepas mereka meninggalkan AS.

Keperluan berkenaan diperkenalkan tahun lalu sebagai sebahagian daripada program perintis selama 12 bulan di bawah dasar imigresen lebih ketat pentadbiran semasa.

Bagaimanapun, pengecualian terbaharu itu hanya terpakai kepada peminat yang mempunyai tiket perlawanan sah.

Sebelum ini, pengecualian hanya diberikan kepada pemain dan pegawai pasukan.

Daripada 50 negara yang terlibat, lima daripadanya,  Algeria, Cabo Verde, Ivory Coast, Senegal dan Tunisia, telah layak ke Piala Dunia 2026.

Walaupun deposit visa digugurkan, beberapa sekatan perjalanan masih kekal.

Pelawat dari Iran dan Haiti masih tidak dibenarkan memasuki AS, manakala perjalanan dari beberapa negara lain tertakluk kepada sekatan tertentu.

Dalam pada itu, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menyambut baik keputusan tersebut, sambil menyifatkannya sebagai langkah penting bagi memastikan kejohanan berlangsung lancar dan mendapat sambutan global.

Piala Dunia 2026 dijangka menjadi antara edisi terbesar dalam sejarah dengan kehadiran penyokong dari seluruh dunia.
 

 

Must Watch Video