NATIONAL
Diarah hentikan operasi, selamatkan Miri Crocodile Farm

Miri Crocodile Farm antara tarikan yang terdapat di bandaraya itu kini memerlukan sumbangan anda untuk diteruskan. -Gambar Fail
Industri pelancongan antara yang jelas terjejas sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Ini termasuk pusat tumpuan orang ramai seperti Miri Crocodile Farm (MCF) di Kuala Baram, Miri.
Kini, ladang buaya yang telah beroperasi sejak tahun 1992 ini memerlukan ihsan orang ramai untuk menyelamatkan lebih 1,000 haiwan jagaannya.
Menurut, Pengarah Urusan MCF, Chai Kuen Ming, sumbangan yang dihulurkan orang ramai amatlah dihargai dalam usaha mereka meneruskan penyelenggaraan ladang dan menjaga keperluan haiwan seperti makanan.
“Sumber utama ladang ini datangnya daripada pengunjung. Tanpa pengunjung, kami tiada pendapatan untuk menyelenggara serta memastikan kesihatan haiwan terjaga,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Jelasnya, mereka yang ingin membantu boleh melakukan sumbangan melalui program ‘Help the animals’ yang diselia oleh pihak MCF.
Beliau berharap inisiatif ini dapat membantu mereka meneruskan kelangsungan ladang berkeluasan 22 hektar tersebut.

Pakej-pakej bantuan MCF melalui Ticket2U. -Gambar Miri Crocodile Farm
Ujarnya lagi, walaupun dibenarkan beroperasi semula dalam tempoh yang akan diumumkan kelak, namun ia tidak menjanjikan kedatangan pengunjung kerana orang ramai masih trauma dengan keadaan semasa COVID-19.
“Sama seperti manusia biasa, haiwan juga memerlukan penjagaan dan kini, pengunjung untuk memastikan kelestarian ladang. Tanpa sokongan pengunjung, ladang kami tidak dapat bertahan sehingga ke hari ini,” luahnya.
Kerisauan itu walaubagaimanapun tidak akan menyebabkan pihaknya mengabaikan keperluan haiwan-haiwan di ladang tersebut.
Selain buaya, ladang itu juga mengendalikan Zoo Mini yang dihuni lebih 60 spesis burung dan haiwan eksotik lain.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami