MALAYSIA
Didakwa bunuh penuntut, pasangan kekasih berdepan hukuman mati

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes untuk penyerahan dokumen termasuk laporan bedah siasat dan forensik pada 11 September depan. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
SEPANG: Seorang penganggur dan teman wanitanya berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret Sepang, di sini atas pertuduhan membunuh penuntut Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi, sebuah universiti swasta di Cyberjaya, Maniishapriet Kaur Akhara, bulan lalu.
Tertuduh, M Sri Darvien, 19, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Maniishapriet Kaur, 20, di Blok A, Mutiara Villa, Persiaran Multimedia di sini antara pukul 9.11 malam dan 11.31 malam, pada 23 Jun lalu.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman gantung sampai mati atau hukuman penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan disebat minimum 12 kali.Sementara itu, teman wanita tertuduh, D Thineswary yang juga berusia 19 tahun, didakwa bersubahat dengan Sri Darvien melakukan pembunuhan itu di tempat dan masa yang sama.
Pertuduhan ke atas tertuduh yang mengikuti Program Asasi Sastera, tahun pertama di universiti sama itu dikemukakan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama.
Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.
Kedua-dua tertuduh dilihat tenang ketika pertuduhan dibacakan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin manakala Sri Darvien diwakili peguam M Manoharan dan Thineswary diwakili peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff.
Sementara itu, Datuk Rajpal Singh yang juga bapa saudara mangsa bertindak sebagai peguam pemerhati.
Beliau ditemani dua lagi peguam Raspreet Kaur dan Sarabmeet Singh sebagai peguam pemerhati.
Dalam prosidimg pada Khamis, Manoharan memohon supaya kes itu segera dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan, selaras peruntukan dalam Seksyen 177A (2) Kanun Tatacara Jenayah.
"Saya mohon jasa baik Timbalan Pendakwa Raya untuk membawa kes ini ke Mahkamah Tinggi dengan secepat mungkin supaya perbicaraan dapat dijalankan dengan secepat mungkin," ujarnya.
Susulan itu, Raja Zaizul Faridah menjelaskan, pihaknya memerlukan beberapa dokumen lanjut seperti laporan kimia, laporan forensik dan bedah siasat supaya kes berkenaan boleh dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan dengan segera.
"Keizinan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi hanya hanya boleh dibuat selepas pendakwaan meneliti semua laporan terbabit dan menyerahkan salinan kepada pihak pembelaan," jelasnya.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes untuk penyerahan dokumen termasuk laporan bedah siasat dan forensik pada 11 September depan.
Sementara menunggu sebutan kes, kedua-duanya ditahan di penjara tanpa jaminan berikutan pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang tidak membenarkan sebarang ikat jamin.
Thineswary dihantar ke Penjara Kajang, manakala Sri Darvien ditempatkan di Penjara Sungai Buloh.
Terdahulu, kedua-dua tertuduh itu tiba di mahkamah kira-kira pukul 8.54 pagi menaiki kenderaan pacuan empat roda secara berasingan.
Ahli keluarga mangsa dan kedua-kedua tertuduh dilihat turut berada di mahkamah bagi mengikuti prosiding yang bermula pada pukul 9.52 pagi.
Mahkamah turut dikawal ketat polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang sejak pukul 7.30 pagi bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini.
Malah Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman dan timbalannya, Superintendan Shan Gopal Krishnan turut turun padang memantau keadaan dan menghadiri prosiding itu.
Pada 24 Jun lalu, Maniishapriet Kaur ditemukan dengan kesan kecederaan di kepala oleh rakannya dalam bilik penginapan disediakan pihak pengurusan universiti di sebuah kondominium di Cyberjaya, di sini.
Susulan itu tiga individu termasuk suspek utama ditahan dalam tempoh 48 jam selepas laporan polis diterima pada 24 Jun lalu.
Mereka ditahan dalam beberapa serbuan berasingan di Johor Bahru, Johor dan Gemencheh, Negeri Sembilan masing-masing pada 25 dan 26 Jun, manakala seorang lagi suspek ditahan keesokan harinya.
Bagaimanapun dua suspek dibebaskan dengan jaminan bon di bawah Seksyen 118 Kanun Prosedur Jenayah dan dijadikan saksi pendakwaan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami