NATIONAL
Digitalisasi: Dunia Islam harus proaktif, bangunkan penyelesaian sesuai keperluan - PM Anwar

Kata Anwar, dunia Islam perlu menjadi proaktif dalam membangunkan produk dan perkhidmatan yang memenuhi keperluan masyarakat. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kerjasama antara negara-negara Islam menjadi semakin penting, terutama dalam aspek inovasi berdaya maju dan relevan untuk setiap anggota masyarakat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, dunia Islam perlu menjadi proaktif dalam membangunkan produk dan perkhidmatan yang memenuhi keperluan masyarakat dan menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.
"Kewangan Islam bukan soal menerima pakai apa yang anda panggil sebagai bebas riba, tetapi untuk memasuki inovasi baharu, supaya ia menawarkan alternatif dan berdaya maju dari segi ekonomi untuk dunia Islam, dan juga penyertaan orang bukan Islam dalam masyarakat kita dan di negara bukan Islam.
"Lebih daripada itu, seperti yang kita tahu, ada cabaran baharu iaitu peralihan tenaga. Malaysia bertuah kerana kita mempunyai dalam kalangan jiran kami, dalam ASEAN, hubungan yang sangat baik berdasarkan kepercayaan dan bekerjasama. Seperti yang anda ketahui, ASEAN merupakan salah satu wilayah yang paling aman di dunia, salah satu wilayah yang paling rancak dan dinamik dari segi ekonomi."Kami untuk memulakan beberapa langkah praktikal, seperti grid kuasa ASEAN yang melintasi dari Vietnam ke Laos, Kemboja, Thailand, Malaysia, Singapura, dan Sarawak Sabah, Indonesia, ke Filipina, Brunei juga. Anda boleh lihat, semangat bekerjasama dalam kalangan negara Islam, dalam kalangan jiran, akan membantu untuk meningkatkan taraf hidup setiap anggota mansyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk 'Digitalisation: New Reality and Additional Opportunities for Expanding Cooperation' pada Forum Ekonomi Antarabangsa Russia-Dunia Islam ke-16 (KazanForum 2025) di Kazan, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan, ketika dunia sedang berlumba untuk menguasai kecerdasan buatan, dunia Islam berada pada posisi penting untuk mengambil pendekatan yang berteraskan nilai dan watak.
Katanya, umat Islam harus mengambil inspirasi daripada dedikasi junjungan besar Nabi Muhammad SAW terhadap keadilan dan belas kasihan dalam mengharungi cabaran teknologi dan digitalisasi.
Menurutnya, AI harus diterima pakai dengan kompas moral yang jelas bagi memastikan keselamatan ekonomi, identiti dan nilai, sekali gus membentuk masa depan berpandukan prinsip dan nilai Islam abad ke-21.
"Saya tidak bercakap tentang asas ekonomi, peralihan tenaga dan transformasi digital tanpa adanya nilai dan watak yang menjadi ikutan. Apa yang penting, bagaimana kita menghormati, mencintai dan mengikuti contoh Muhammad SAW? Menerusi nilai dan perwatakan.
"Jadi isu di hadapan kita, untuk golongan muda, dan untuk kita juga, adalah untuk memastikan bahawa terdapat perbezaan. Nilai kekeluargaan adalah penting. Amanah, keadilan, kehormatan, maruah manusia adalah penting.
"Itulah sebabnya kita menolak ketiadaan kod moral, hipokrasi yang menyebabkan ribuan orang, wanita dan kanak-kanak dibunuh setiap hari di Gaza. kenapa? Kerana kita percaya pada maruah manusia, tidak kira sama ada mereka Islam atau bukan Islam," tegasnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami