TEMERLOH: Seorang lelaki ditemui mati di sebuah bangsal kebun durian di Jalan Felcra Kerdau di sini selepas wang simpanan RM156,000 lesap diperdaya sindiket 'Phone Scam'.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian itu jam 12.23 tengah hari pada Khamis.

"Siasatan awal mendapati mangsa diperdaya oleh sindiket penipuan 'Phone Scam' yang menyamar sebagai wakil syarikat kurier dan polis.

"Difahamkan mangsa telah mengalami kerugian dan ekoran kejadian itu, dua kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan mati mengejut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau bagaimanapun menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah panik sekiranya menerima sebarang panggilan telefon yang menyamar sebagai pihak berkuasa atau daripada mana-mana pihak.

Jelasnya, semakan juga perlu dilakukan terlebih dahulu dengan agensi berkaitan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa sindiket penipuan.

"Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat dan membuat pertanyaan berkaitan kesalahan jenayah komersial melalui aplikasi WhatsApp CCID Infoline di talian 013-2111222 atau menghubungi CCID scam response centre di talian 03-26101599/03-2610 1559," kata beliau lagi. -Sinar Harian