DMDI gesa tentera pengaman PBB dihantar ke Gaza

Bernama
Mei 16, 2021 02:16 MYT
Letupan terjadi di sebuah bangunan yang menempatkan pejabat media antarabangsa AP dan Al Jazeera susulan serangan udara Israel di Gaza, 15 Mei, 2021. - REUTERS
MELAKA: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) menggesa agar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menghantar tentera pengaman ke Gaza bagi menghalang tentera Israel daripada terus melakukan serangan ke atas rakyat Palestin.
Presidennya Tun Mohd Ali Rustam berkata DMDI berpandangan tindakan keganasan Israel itu perlu dihentikan segera dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ketenteraan Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza.
"PBB dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) hendaklah segera bersidang menuntut Israel menghentikan segera keganasan ini yang melanggar hak asasi manusia untuk rakyat Palestin hidup aman damai dalam negara mereka sendiri.
"DMDI menuntut negara-negara besar segera mengenakan sekatan ekonomi ke atas Israel supaya Israel mendapat pengajaran terutamanya dalam menghormati hak asasi manusia dan rakyat Palestin dapat hidup dalam keadaan aman dan damai," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd Ali yang juga Yang Dipertua Negeri Melaka berkata DMDI juga menggesa kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat serta Kesatuan Eropah (EU), China dan Russia dapat memainkan peranan dengan memberikan tekanan antarabangsa terhadap Israel.
-- BERNAMA
#NGO #Amerika Syarikat #kerajaan #Melayu #keganasan #serangan #tentera #Kesatuan Eropah #EU #PBB #Israel #Gaza #Palestin #Dunia Melayu Dunia Islam #DMDI #Mohd Ali Rustam #tentera pengaman