BAGAN DATUK: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta semua pihak memberi ruang kepada Jabatan Peguam Negara menjalankan siasatan terhadap representasi dikemukakan pihaknya berhubung 47 pertuduhan melibatkan Yayasan Akalbudi yang dikenakan sebelum ini.

Beliau berkata, Jabatan Peguam Negara telah pun mengeluarkan kenyataan media berhubung perkara tersebut sebagai respons kepada Majlis Peguam Negara sebelum ini.

Menurutnya, pencerahan dibuat oleh jabatan itu jelas malah keputusan mahkamah berkaitan kes keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) bukan pertama kali berlaku.

"Pada hemat saya, apa yang disebutkan oleh Datuk Seri Anwar (Perdana Menteri), tidak perlu perkara ini (keputusan DNAA) dibawa ke Parlimen pun, kononnya untuk diperbahaskan sebab Parlimen bukan mahkamah.

"Kita tunggulah apa keputusan yang akan dibuat Jabatan Peguam Negara terhadap representasi yang menunggu siasatan teliti oleh Peguam Negara dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan juga tentang beberapa elemen di dalam representasi itu termasuklah laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI)," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Perasmian Penutup Program Malaysia Next Leader Bagan Datuk di Dewan Dato' Lope Hashim di sini pada Ahad.

Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Sementara itu, Ahmad Zahid menganggap hasrat Pemuda Perikatan Nasional (PN) untuk mengadakan demonstrasi berhubung isu DNAA itu tidak memberi apa-apa kesan.

"Saya tak kata setuju atau tak setuju (demonstrasi Pemuda PN). Kalau mereka nak buat demo hari-hari pun mereka boleh buat, tapi kesannya apa?

"Kita harus mematuhi proses perundangan sebagaimana yang termatub dalam Perkara 145(3) Perlembagaan Malaysia," katanya.

Pada Ahad, Pemuda PN dalam satu kenyataan mahu menggerakkan penyokong untuk turun ke jalan minggu depan bagi membantah keputusan mahkamah melepaskan Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan.

Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari dilaporkan menyeru penyokongnya untuk berhimpun di ibu negara dengan berpakaian putih bagi membantah keputusan itu.

*Artikel asal disiarkan di Sinar Harian