MELAKA: Digital Nasional Berhad (DNB) menyasarkan liputan 5G mencapai kadar 89.5 peratus di Melaka menjelang Disember ini.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Fairul Nizam Roslan berkata peratusan berkenaan akan meliputi 225 lokasi di seluruh negeri.

"Setelah sasar tersebut dicapai, tambahan lokasi rangkaian 5G baharu bagi meliputi baki 10.5 peratus liputan 5G di Melaka akan dikaji dan dinilai semula lanjutan pengumuman kerajaan Persekutuan untuk menukar model penyedia tunggal rangkaian 5G kepada pelaksanaan model dwirangkaian 5G bermula Januari 2024.

"Diharap pelaksanaan model baharu ini akan menyediakan perkhidmatan 5G yang lebih meluas dan stabil di Melaka," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh di sini semalam.

Fairul Nizam menjawab soalan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Hilir Leng Chau Yen yang mahu tahu sebab rangkaian 5G masih belum stabil di Melaka.

Beliau berkata sehingga 30 Jun lepas, sebanyak 125 daripada 225 tapak yang dirancang telah siap dibangunkan oleh DNB membabitkan 63.4 peratus ketersediaan rangkaian 5G di Melaka.

Katanya baki 100 lokasi masih dalam pelaksanaan dan dijangka siap secara berperingkat menjelang Disember 2023 antaranya di DUN Taboh Naning dan Rim.

"Kesimpulannya, perkhidmatan 5G berkeupayaan membawa lebih banyak data dengan lebih laju daripada perkhidmatan 4G dengan kadar antara 300 Mbps sehingga 1 Gbps, namun ia juga bermaksud jarak capaian liputan 5G dari menara 5G adalah pada sekitar 1 kilometer (km) berbanding 4G iaitu sekitar 2km," katanya.

-- BERNAMA