KUALA LUMPUR: Pasangan pengantin baharu, Kamal Adli dan Uqasha Senrose berangkat ke Tanah Suci, Mekah untuk menunaikan ibadah umrah pagi semalam.

Menerusi perkongsian di entri terbaharu akaun Instagram, Kamal dan Uqasha mengambil kesempatan memohon maaf kepada semua dan berharap peminat dapat mendoakan segala urusan ibadah mereka dipermudahkan.

“Bismillahirahmanirrahim… Kalau kami ada salah dan silap maafkan kesalahan kami berdua. Doakan kami mendapat umrah yang mabrurah.

“Maafkan kami semua… Salam takziah untuk semua mangsa-mangsa banjir, kami akan doakan Allah akhirkan bencana ni. InsyaAllah… Salam semua. Terima kasih untuk ucapan kahwin kami,” coret Kamal.

Menerusi video pendek yang dikongsi, Uqasha memaklumkan mereka bakal membuat solat hajat untuk mangsa-mangsa banjir di Malaysia.

“Sama seperti suami, kalau ada buat salah, silap, tersinggung, minta maaf dari hujung rambut ke hujung kaki.

“Kami akan ke sana untuk buat solat hajat untuk tolong mangsa-mangsa banjir yang tengah hadapi musibah di Malaysia. InsyaAllah,” katanya.

Sebelum ini Uqasha pernah memaklumkan mereka masih belum sebarang keputusan untuk destinasi percutian tetapi memilih Tanah Suci Makkah sebagai pra-bulan madu.

Kamal dan Uqasha mendirikan rumah tangga pada 5 November yang lalu.

Detik bersejarah penyatuan Kamal dan Uqasha bakal diabadikan menerusi paparan tiga buah episod istimewa dalam program ‘Walimatulurus Kamal Adli & Uqasha Senrose’ yang akan disiarkan secara eksklusif pada 11, 18 dan 25 Disember 2021 jam 9 malam.

Momen indah tersebut turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro Go dan On Demand. Selain itu, sebarang berita terkini mengenai liputan majlis tersebut juga boleh diikuti di portal Gempak dan tanda pagar rasmi #KamalXUqasha




* Artikel asal disiarkan di Gempak.