NATIONAL
Doakan kesembuhan Jamal, sel kanser sudah merebak ke otak

Abdul Mutalif melawat Jamal yang sedang menerima rawatan di KPJ Ampang Puteri selepas mengalami masalah kesihatan sejak Sabtu lalu. - Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos kini menerima rawatan di sebuah hospital swasta selepas mengalami masalah kesihatan sejak Sabtu lalu.
Setiausaha UMNO Selangor, Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim yang melawat Jamal pada malam Khamis memaklumkan, Jamal dimasukkan ke hospital selepas mengadu sakit di bahagian leher dan kepala.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan doktor termasuk ujian pengimejan resonans magnet (MRI) menunjukkan sel kanser merebak ke bahagian otak.
"Sebelum ini (sel kanser) berada di paru-paru dan merebak ke bahagian otak dengan saiz ketumbuhan sekitar 3 cm (sentimeter)," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai bersama-sama mendoakan kesembuhan Jamal dan berharap beliau diberikan kekuatan dalam menghadapi ujian ini.
"Moga beliau diberikan kesihatan semula dan diberi kesembuhan daripada penyakit kanser yang dideritainya ketika ini," ujar beliau.
Jamal pada September 2022 ketika menjawat jawatan sebagai Ketua Komunikasi Barisan Nasional (BN) Selangor pernah dikejarkan ke hospital selepas tiba-tiba jatuh sakit sebaik menghadiri program parti itu di Sungai Besar.
Difahamkan, sebelum ini beliau beberapa kali dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan bagi kanser paru-paru tahap empat. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami