PUTRAJAYA: Jabatan Perikanan (DOF) sedang meneliti untuk mewartakan perairan sekitar Gugusan Kepulauan Mersing, Johor khusus untuk memberi perlindungan kepada spesies dugong dan habitatnya rumput laut.

DOF dalam kenyataan hari ini memaklumkan Kepulauan Mersing merupakan lokasi dugong kerap dijumpai, namun disebabkan ancaman terhadap habitat dan ekosistem rumput laut, populasi mamalia itu semakin mengecil.

"Terdapat sekurang-kurangnya 19 kematian dugong direkodkan antara 2015 dan 2022, dengan kebanyakannya anak dugong.

"Walaupun tiada anggaran bilangan tepat bagi populasi dugong di Kepulauan Mersing, Kajian Mamalia Laut dan Pemuliharaan (MareCet) mencadangkan bahawa populasi dugong di kawasan itu tidak melebihi 100 ekor, dan besar kemungkinan mempunyai bilangan yang lebih kurang daripada 100 ekor," menurut DOF.

Menurut kenyataan berkenaan, kawasan padang rumput laut di Pulau Sibu dan Pulau Tinggi, Mersing merupakan kawasan ragut yang penting bagi dugong seperti yang dilihat daripada kesan ragutan pada sepanjang tinjauan rumput laut dan kesan ragutan sejak 2014.

DOF memaklumkan keunikan dan kesuburan kawasan rumput laut di Johor bukan sahaja menyokong kepada kemandirian spesies dugong, malah hasil soal selidik bersama komuniti di sekitar Pulau Sibu dan Pulau Tinggi juga menyatakan bahawa keberadaan rumput laut juga memainkan peranan bagi spesies komersial yang lain terutamanya sotong mabang yang menjadikan perairan Pulau Sibu-Tinggi sebagai kawasan bertelur.

"Walaupun perairan Pulau Sibu dan Pulau Tinggi telah diwartakan sebagai Taman Laut, hanya 38 peratus dugong dilihat berada di dalam sempadan Taman Laut dengan kebanyakan pasangan ibu dan anak didapati berada di luar kawasan Taman Laut berkenaan," menurut DOF.

Kenyataan DOF adalah bersempena Hari Rumput Laut Sedunia yang disambut pada 1 Mac setiap tahun sebagai usaha memberi kesedaran memelihara dan memulihara tumbuhan itu dan mengekalkan keseimbangan ekosistem laut.

Mengenai langkah konservasi rumput laut , DOF memaklumkan kajian awalan propagasi rumput laut secara ex situ sedang giat dijalankan terhadap spesies terpilih bersesuaian dengan potensi lokasi yang memerlukan rehabilitasi habitat rumput laut.

Rumput laut yang seringkali diabaikan merupakan bahagian penting daripada ekosistem laut, dan selain menyediakan habitat, tempat berlindung serta sebagai sumber makanan bagi pelbagai spesies laut termasuk dugong dan penyu, ia juga berperanan dalam mengurangkan kadar karbon dioksida di atmosfera dan memperbaiki kualiti air laut.

-- BERNAMA