TELUK INTAN: Seorang doktor di sebuah hospital di sini 'berputih mata' kerugian RM27,300 akibat diperdaya sindiket Macau Scam selepas menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada Jumaat. 

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata lelaki berusia 27 tahun itu menerima panggilan telefon daripada individu yang memperkenalkan diri  sebagai pegawai di LHDN Pulau Pinang dan mendakwa mangsa mempunyai tunggakan cukai. 

Katanya, panggilan yang diterima kira-kira jam 11 pagi itu kemudian dikatakan telah disambungkan kepada individu yang menyamar dari Bank Negara (BNM) dan mendakwa mangsa telah terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram. 

“Akibat cemas dan ketakutan mangsa telah menyerahkan segala butiran maklumat perbankan termasuk kata laluan perbankan atas talian kepada suspek yang memperkenalkan diri sebagai ‘Tuan Shariff’.

“Mangsa hanya menyedari telah ditipu selepas mendapati wang dalam akaun bank miliknya telah dipindahkan menerusi dua transaksi masing-masing berjumlah RM12,000 dan RM15,300 ke sebuah akaun bank lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu. 

Menurutnya mangsa telah tampil membuat laporan pada jam 5.21 petang hari yang sama dan pihak polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Ahmad Adnan menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah berhati-hati bagi mengelakkan diri daripada terus menjadi mangsa penipuan atau Macau Scam. 

“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak melayan panggilan telefon atau mesej dari nombor yang tidak dikenali. Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak mudah panik dan cemas apabila menerima panggilan dari scammer. 

“Agensi penguatkuasaan di Malaysia tidak akan menelefon untuk mengugut dengan memberi pilihan kepada mangsa untuk ‘selesai di luar’. Sentiasa buat semakan dan pengesahan dengan jabatan atau agensi yang berkaitan,” jelasnya.

Beliau juga menasihatkan orang ramai untuk tidak menyerahkan sebarang maklumat perbankan kepada mana-mana individu yang tidak dikenali.