NATIONAL
Doktor didakwa rogol, lakukan persetubuhan luar tabii terhadap pembantu klinik
KUALA LUMPUR: Seorang doktor di sebuah klinik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan merogol dan melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii terhadap pembantu klinik, Sabtu lepas.
Ringkasan AI
- Dr Mohd Rafi'uddin Hamidon, seorang doktor, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan merogol dan melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii terhadap pembantu klinik.
- Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 375(b) dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan, dengan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. Hakim membenarkan jaminan RM18,000 dengan syarat tambahan.
- Mahkamah menetapkan 23 April untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.
Lelaki itu juga didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa sama pada tempat, masa dan tarikh serupa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh dengan alasan kesalahan itu adalah serius dan tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun, peguam Adi Zulkarnain Zulkafli yang mewakili Dr Mohd Rafi'uddin memohon supaya jaminan dibenarkan dengan alasan anak guamnya menanggung isteri serta tiga anak termasuk seorang bayi yang baru lahir.
"Pihak kami juga tidak membantah sekiranya syarat tambahan dikenakan terhadap tertuduh," kata peguam itu.
Hakim Mohd Zaki Mohd Salleh membenarkan lelaki itu diikat jamin RM18,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah selain perlu melaporkan diri sebulan dua kali di balai polis berhampiran dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 23 April ini untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami