Dokumen dalam plastik milik Zara Qairina diserah kepada guru sekolah

Prosiding inkues bersambung esok, bagaimanapun ia akan dijalankan secara tertutup kerana melibatkan saksi kanak-kanak.
KOTA KINABALU: Bekas Ketua Warden Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar iaitu Azhari Abd Sagap, 31, memberitahu Mahkamah Koroner hari ini, seorang pelajar telah menyerahkan satu bungkusan plastik mengandungi nota-nota berkaitan Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Saksi kelapan yang dipanggil semula itu berkata pelajar terbabit menyerahkan bungkusan berkenaan kerana tidak lagi mahu menyimpannya dan memberikannya kepada Warden Asrama Syukriah Fauzi sebelum Azhari menyerahkan bungkusan itu kepada polis.
"Semua dalam plastik tersebut adalah daripada pelajar berkenaan yang diterimanya daripada Zara Qairina," katanya ketika menjawab soalan Peguam Shahlan Jufri yang mewakili ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan hari ini.
Azhari berkata pelajar itu telah menyerahkan bungkusan berkenaan kepada Syukriah pada hari Zara Qairina meninggal dunia.
Saksi itu berkata beliau tidak pernah bertemu dengan pelajar tersebut, tetapi pernah menghubunginya untuk bertanya bilakah barangan itu diberikan oleh Zara Qairina, namun pelajar itu tidak mengingatinya.
Menjawab soalan lain, Azhari berkata beliau telah menerima dua diari terawal Zara Qairina pada 17 Julai 2025 selepas mesyuarat diadakan di sekolah itu, sebelum diserahkan ke balai polis.
Beliau berkata mesyuarat itu turut membincangkan perkara berkaitan Zara Qairina termasuk gambar daripada dua muka surat dairi pelajar berkenaan.
Sementara itu, Shahlan ketika ditemui media berkata saksi kanak-kanak ada yang akan dipanggil semula dan saksi baharu termasuk seorang guru, akan dipanggil untuk memberi keterangan
Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai tahun lepas, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama SMKA Tun Datu Mustapha, di Papar pada kira-kira 4 pagi.
Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan polis.
Sebelum itu, AGC pada 8 Ogos lepas telah mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Zara Qairina bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.
Prosiding inkues bersambung esok, bagaimanapun ia akan dijalankan secara tertutup kerana melibatkan saksi kanak-kanak.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


