Kesemua yang dipaparkan di dalam dokumentari yang diterbitkan oleh stesen televisyen Al Jazeera berkaitan pembunuhan model sambilan dan penterjemah Altantuya Shaariibuu, 28, pada tahun 2006 adalah berdasarkan khabar angin dan tanpa bukti yang kukuh, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Keruak.

Beliau berkata, dokumentari terbabit juga mengandungi lakonan semula beberapa babak dengan rakaman suara “yang memberikan gambaran ia adalah bukti, sedangkan babak terbabit dilakonkan oleh aktor”.

“Bagaimana mereka boleh membuat kesimpulan yang babak ini adalah gambaran apa yang sebenarnya berlaku tanpa penjelasan. Al Jazeera sendiri mengaku ia adalah babak yang dilakonkan semula.

“Mengapa Al Jazeera mahu mengubah sesuatu yang tidak benar, sebahagiannya semata-mata penipuan dan spekulasi yang membawa kepada syak wasangka bahawa ada niat di sebaliknya,” katanya dalam catatan terbaru di blog sskeruak.blogspot hari ini.

Salleh berkata, Al Jazeera juga menampilkan pengakuan oleh penyiasat peribadi P. Balasubramaniam yang sering bertukar.

Kata beliau lagi, Al Jazeera juga gagal memetik kenyataan polis Perancis yang merakamkan kenyataan Bala di Paris, namun tidak dimasukkan ke dalam hasil penyiasatan mereka kerana tidak konsisten dan tidak boleh diterima.

“Tumpuan laporan Al Jazeera adalah Altantuya adalah seorang penterjemah untuk kontrak kapal selam, sesuatu yang berlaku sebelum dia (Altantuya) dikatakan terbabit .

“Laporan polis Perancis berkata Altantuya tidak pernah memasuki Perancis sepanjang waktu itu dan begitu juga Razak Baginda dan Perdana Menteri. Ini, tidak dinyatakan Al Jazeera,” tambahnya.

Ini kata beliau adalah contoh fakta diselubungi dengan kisah rekaan dari cerita yang telah disebarkan.

“Saya hanya dapat mengklasifikasi laporan Al Jazeera itu sebagai nakal dan berniat tidak baik dengan mensensasikan cerita yang dipersembahkan kononnya ia benar,” katanya.