Dokumentari Al Jazeera: Md Rayhan diusir selepas selesai siasatan - KP Imigresen

Bernama
Ogos 5, 2020 09:17 MYT
Pas lawatan kerja Md Rayhan sudah ditamatkan dan disenarai hitam daripada memasuki negara ini selama-lamanya.
Warga Bangladesh, Md Rayhan Kabir, 25, yang ditemu bual dalam dokumentari Al Jazeera bertajuk "Locked Up in Malaysia's Lockdown" akan diusir ke negara asalnya selepas semua siasatan polis selesai, kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud.
"Saya tak boleh bagi anggaran bila (Md Rayhan dihantar pulang) cuma penerbangan paling awal ke Bangladesh pada 31 Ogos ini," katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Md Rayhan ditahan di Setapak, Kuala Lumpur pada 24 Julai, selepas Jabatan Imigresen Malaysia memohon bantuan orang awam menjejaki individu berkenaan yang muncul dalam dokumentari Al Jazeera.
BACA: Laporan Al Jazeera: Warga Bangladesh Md Rayhan Kabir ditahan - Bukit Aman
BACA: Dokumentari Al Jazeera: Md Rayhan mohon maaf kepada rakyat Malaysia, pihak berkuasa
Menerusi dokumentari itu, Md Rayhan membuat kenyataan berhubung layanan pihak berkuasa Malaysia kepada pendatang tanpa izin ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membanteras penularan COVID-19.
Khairul Dzaimee sekali lagi menegaskan bahawa pas lawatan kerja Md Rayhan sudah ditamatkan dan disenarai hitam daripada memasuki negara ini selama-lamanya. - BERNAMA
#dokumentari Al Jazeera #Locked Up in Malaysia's Lockdown #Md Rayhan Kabir #warga Bangladesh