MELAKA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang menyiapkan dokumentasi yang diperlukan untuk pencalonan bersama bagi pakaian tradisional Kebaya ke Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di bawah kategori Representative List of the Intangible Cultural Heritage (ICH) of Humanity bagi tahun 2023.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) MOTAC, Datuk Mohd Zamri Mat Zain berkata, pencalonan bersama Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand itu bertujuan memastikan aset atau warisan ketara negara bukan sahaja dapat dipelihara, tetapi juga mengetengahkan Kebaya sebagai lambang budaya dan identiti penting bagi kaum wanita khususnya Melayu dan Peranakan di negara ini di peringkat antarabangsa.

"Kita dalam proses dokumentasi sebelum pencalonan berkenaan dihantar kepada UNESCO dalam masa terdekat ini dan kita harap proses ini berjalan lancar kerana usaha ini bukan sahaja untuk memartabatkan Melaka tetapi juga Malaysia," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Beliau berkata demikian selepas perasmian Festival Merakyatkan Seni dan Budaya @ Jonker Melaka yang disempurnakan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, dan majlis turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd Amran Mohd Haris.

Mohd Zamri berkata, MOTAC akan terus mengangkat aset, budaya atau warisan negara yang dikategorikan sebagai ketara dan tidak ketara di dalam dan luar negara termasuk menerusi pelbagai program silang budaya seperti Festival Merakyatkan Seni dan Budaya @ Jonker Melaka yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam (Jumaat).

Beliau berkata, menerusi festival berkenaan projek 'Kebaya on the Go' turut dianjurkan bagi memberi peluang kepada pelancong menggayakan busana Kebaya yang menjadi salah pakaian masyarakat kaum Baba dan Nyonya di Melaka.

Katanya, lebih banyak program silang budaya akan dilaksanakan di seluruh negara bagi menyemai semangat kebanggaan terhadap seni, budaya dan warisan tempatan khususnya dalam kalangan generasi muda selain menyemarakkan lagi industri pelancongan negara.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis perasmian festival berkenaan, Mohd Zamri berkata, kerajaan menerusi Jabatan Warisan Negara dalam proses mewartakan Tokong Cheng Hoon Teng yang terletak di Jalan Harmoni di sini sebagai salah satu Warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).

Katanya, tokong berkenaan merupakan salah satu rumah ibadat tertua di negara ini yang masih beroperasi di jalan berkenaan yang turut menempatkan dua lagi rumah ibadat lain berusia ratusan tahun iaitu Masjid Kampung Kling dan Kuil Sri Poyyatha Vinayagar Moorthi yang telah diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan.

Sementara itu, Mohd Amran berkata, empat lagi program seumpama Festival Merakyatkan Seni dan Budaya @ Jonker Melaka akan dianjurkan di Perak, Kedah, Johor dan Negeri Sembilan.

Beliau berkata, festival berkenaan merupakan platform terbaik untuk menyemarakkan dan memartabatkan seni dan budaya di setiap negeri terlibat sekali gus menarik kunjungan pelancong tempatan dan luar negara terutama menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026. - BERNAMA