PUTRAJAYA: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengeluarkan 33 laporan dalam satu Majlis Pengumuman Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah 2022 yang dirasmikan oleh Menteri Ekonomi Rafizi
Ramli, hari ini.

Laporan yang terlibat adalah Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah Malaysia, 2022; 14 Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah mengikut Negeri dan Daerah Pentadbiran, 2022; Laporan Survei Perbelanjaan Isi Rumah Malaysia 2022; 14 Laporan Survei Perbelanjaan Isi Rumah mengikut Negeri dan Daerah Pentadbiran, 2022.

Selain itu, tiga laporan lain ialah Laporan Kemiskinan Malaysia 2022 dan Laporan Ketidaksamarataan Pendapatan Malaysia 2022 yang diterbitkan buat julung kalinya serta Intisari Pendapatan Perbelanjaan Kemiskinan Ketidaksamarataan 2022.


Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah (HIS) memuatkan analisis berkaitan pendapatan yang diperoleh oleh isi rumah.

Sementara itu Laporan Survei Perbelanjaan Isi Rumah (HES) pula mengandungi maklumat berkaitan corak perbelanjaan penggunaan isi rumah di Malaysia.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menjelaskan analisis kali ini akan menerbitkan laporan khusus bagi Kemiskinan Malaysia dan laporan Ketidaksamaan Pendapatan Malaysia.

Bagi memberi perspektif yang lebih jelas, hasil kajian ini turut digarap dalam satu laporan Intisari yang memuatkan semua analisis mengikut topik-topik terpilih.

Berdasarkan laporan tersebut, pendapatan isi rumah penengah tumbuh sederhana 2.5 peratus setahun pada tahun 2022 kepada RM6,338.

Pendapatan isi rumah purata pula meningkat 2.4 peratus setahun kepada RM8,479.

Nilai pendapatan ini mengambilkira purata saiz isi rumah sebanyak 3.8 orang dengan purata 1.8 orang penerima pendapatan.

Pendapatan isi rumah ini merangkumi pendapatan daripada pendapatan bergaji, bekerja sendiri pendapatan daripada pelaburan dan pindahan semasa diterima.

Dr Mohd Uzir turut menjelaskan, enam negeri mencapai pendapatan penengah melebihi paras nasional (2022: RM6,338) iaitu Kuala Lumpur (RM10,234), Putrajaya (RM10,056), Selangor (RM9,983), W.P. Labuan (RM6,904), Johor (RM6,879) dan Pulau Pinang (RM6,502). Negeri Selangor mencatatkan pertumbuhan pendapatan penengah tertinggi iaitu sebanyak 6.5 peratus setahun bagi tempoh 2019 dan 2022.

Sementara itu, Kuala Lumpur mencatatkan kemerosotan pendapatan isi rumah penengah kasar
bulanan iaitu dengan pengurangan sebanyak 1.0 peratus bagi tempoh yang sama.

Bagi pendapatan isi rumah kasar bulanan purata pula, empat negeri iaitu Putrajaya (RM13,473), Kuala Lumpur (RM13,325), Selangor (RM12,233) dan Johor (RM8,517) mencatatkan pendapatan isi rumah bulanan purata yang melebihi paras nasional RM8,479 pada 2022.

Selangor turut mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan tertinggi bagi pendapatan purata iaitu sebanyak 4.1 peratus daripada RM10,827 kepada RM12,233, manakala Labuan merekodkan kemerosotan pendapatan isi rumah kasar bulanan purata dengan pengurangan 0.3 peratus iaitu RM8,319 (2019) kepada RM8,250.

Di samping itu, selaras dengan cadangan kerajaan mengenai pendapatan boleh guna sebagai asas dalam kaedah pendekatan membantu rakyat, Dr Mohd Uzir berkata, DOSM telah mengambil inisiatif dengan menganalisis dapatan HIES 2022 dari sudut pendapatan boleh guna.

Pendapatan isi rumah boleh guna bulanan purata meningkat 1.7 peratus (RM7,111) berbanding 2019 (RM6,764).

Manakala pendapatan isi rumah boleh guna penengah bulanan juga meningkat 1.9 peratus (RM5,413) daripada RM5,116 (2019).

Dari segi ukuran purata, pendapatan isi rumah boleh guna ini adalah merangkumi 83.9 peratus daripada
jumlah pendapatan isi rumah kasar.

Dari sudut corak agihan pendapatan pula, Had pendapatan B40 yang merangkumi 3.16 juta isi rumah adalah RM5,249.

Kumpulan M40 pula merekodkan julat pendapatan di antara RM5,250 hingga RM11,819. Sementara itu, sebanyak 1.58 juta isi rumah berada dalam kumpulan T20 dengan pendapatan melebihi RM11,820.

Kumpulan T20 memiliki 46.3 peratus dari agihan keseluruhan pendapatan isi rumah, menurun daripada 46.8 peratus pada 2019.

Sementara itu, kumpulan M40 memiliki 37.6 peratus, manakala B40 pula hanya menguasai 16.1 peratus dari jumlah pendapatan, meningkat sedikit daripada 16.0 poeratus pada 2019.

Kumpulan isi rumah ini juga boleh diperincikan sehingga setiap satu peratus isi rumah.

Dr Mohd Uzir seterusnya menjelaskan, penemuan 2022 menunjukkan nilai Pekali Gini yang dikira berdasarkan pendapatan kasar telah mencatatkan penurunan sebanyak 0.003 mata indeks kepada 0.404 (2022) daripada 0.407 (2019).

Ini bermakna jurang ketidaksamarataan pendapatan semakin mengecil sebanyak 0.3 peratus pada tahun 2022 berbanding 2019.

Bagi tempoh tersebut, pekali Gini di kawasan bandar menurun kepada 0.393 daripada 0.398 (2019) manakala pekali Gini di luar bandar juga menurun kepada 0.351 daripada 0.367.

Pekali Gini mengikut etnik juga menurun bagi semua etnik di mana Bumiputera kepada 0.387 daripada 0.389, etnik Cina 0.412 daripada 0.417 dan etnik India 0.406 daripada 0.411.

Meskipun secara umumnya pendapatan isi rumah di Malaysia semakin meningkat, namun
begitu jurang pendapatan antara etnik masih ketara.

Jurang pendapatan antara etnik Cina dan etnik Bumiputera direkodkan pada kadar 1:0.71 (2022) berbanding 1:0.72 (2019).

Sementara itu, jurang pendapatan antara etnik Cina dan etnik India ialah 1:0.84 pada tahun 2022
menunjukkan keadaan yang sedikit lebih baik berbanding 2019 (1:0.83).

Dari sudut analisis insiden kemiskinan mutlak pula, Dr. Mohd Uzir  menyatakan nilai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bagi tahun 2022 adalah RM2,589 (2019: RM2,208) dengan nilai PGK makanan sebanyak RM1,198 (2019: RM1,169).

Insiden kemiskinan mutlak sebelum krisis kesihatan global adalah 5.6 peratus pada 2019.

Berdasarkan kepada kajian anggaran kemiskinan yang dijalankan oleh DOSM kesan daripada pandemik
COVID-19, insiden kemiskinan pada tahun 2020 telah meningkat kepada 8.4 peratus dan
sedikit menurun kepada 8.2 peratus pada tahun 2021.

Seterusnya, insiden kemiskinan mutlak pada 2022 menunjukkan penurunan kepada 6.2 peratus berbanding tahun 2021.

Insiden kemiskinan mutlak pada 2022 melibatkan anggaran 487,576 isi rumah.

Insiden kemiskinan di bandar turut meningkat daripada 3.9 peratus pada tahun 2019 kepada
4.5 peratus pada tahun 2022, manakala bagi kawasan di luar bandar pula mencatatkan
penurunan daripada 12.4 peratus kepada 12.0 peratus pada tempoh yang sama.

Bilangan isi rumah miskin tegar yang berpendapatan di bawah RM1,198 pula menurun kepada 0.2 peratus
(18,445 isi rumah) berbanding 0.4 peratus (2019).

Dr Mohd Uzir turut menyatakan DOSM sedang membangunkan dashboard statistik pendapatan dan kemiskinan yang turut merangkumi analisis Geospatial bagi tujuan penyebaran dan kefahaman masyarakat umum yang lebih menyeluruh.

Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Laporan Survei Perbelanjaan Isi Rumah Malaysia 2022





Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Laporan Survei Perbelanjaan Isi Rumah Malaysia 2022



Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Laporan Survei Perbelanjaan Isi Rumah Malaysia 2022


Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Laporan Survei Perbelanjaan Isi Rumah Malaysia 2022
Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Laporan Survei Perbelanjaan Isi Rumah Malaysia 2022


Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Laporan Survei Perbelanjaan Isi Rumah Malaysia 2022