Nintendo, Capcom perkukuh usaha bawa dunia permainan video ke layar perak

Nintendo merancang untuk melancarkan filem animasi "The Super Mario Galaxy Movie" pada April 2026. - Gambar fail/Reuters
OSAKA: Dua pembangun permainan video utama Jepun, Nintendo Co. dan Capcom Co., kini giat memperluas usaha membawa watak serta dunia permainan ikonik mereka ke layar perak, lapor Agensi Berita Kyodo.
Ringkasan AI
- Nintendo dan Capcom giat mengembangkan dunia permainan video mereka ke layar perak, dengan Nintendo bakal melancarkan filem animasi The Super Mario Galaxy Movie pada April 2026 dan filem aksi langsung The Legend of Zelda pada Mei 2027.
- Kejayaan filem The Super Mario Bros. Movie pada 2023 mendorong Nintendo menyusun semula anak syarikatnya untuk memperkukuh perniagaan berkaitan acara langsung dan barangan berasaskan watak permainan.
- Capcom pula telah menghasilkan 21 filem sejak 1994, termasuk adaptasi permainan popular seperti Resident Evil dan Monster Hunter, dengan filem Street Fighter terbaru dijadualkan tayang pada Oktober 2026.
Langkah itu dibuat selepas kejayaan besar filem "The Super Mario Bros. Movie" yang diterbitkan bersama studio animasi Amerika Syarikat, Illumination pada 2023 yang bukan sahaja mencatat rekod kutipan global, tetapi turut melonjakkan semula jualan permainan francais itu.
Felo eksekutif Nintendo merangkap pencipta Super Mario, Shigeru Miyamoto melihat adaptasi itu sebagai sebahagian strategi jangka panjang untuk membina jenama Nintendo sebagai nama global yang berkekalan.
"Permainan video akan berhenti dimainkan apabila versi baharu dikeluarkan, tetapi filem kekal selama-lamanya," katanya.
Capcom pula telah menggunakan pendekatan serupa bagi meningkatkan jualan permainan melalui adaptasi filem, dengan 21 filem diterbitkan sejak tayangan "Street Fighter" pada 1994. Filem terbaharu dalam siri itu dijadualkan ditayangkan pada Oktober 2026.
Syarikat itu turut menghasilkan adaptasi bagi beberapa permainan popularnya seperti "Resident Evil" dan "Monster Hunter."
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami