Pengalaman dipenjarakan oleh pihak Zionis di sebuah pusat tahanan di Israel merupakan antara kisah yang dikongsi wakil tunggal Malaysia dalam misi 'Women's Boat to Gaza', Dr Fauziah Mohd Hasan, sebaik sahaja tiba di tanah air pada Jumaat.

Berkongsi kisahnya di hadapan ratusan penyokong dan wakil media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), beliau mengakui perasaan takut tetap ada apabila ditempatkan di dalam sel yang kecil kerana enggan untuk menandatangani sebuah dokumen berkaitan penghantaran pulang (deportation order).

"Kami telah diberi latihan untuk tidak tandatangan apa apa.

"Mereka paksa saya untuk tandatangan dan berkata mereka akan hantar saya ke Itali pada malam itu juga," katanya.

Kerana enggan menurut perintah mereka, Dr Fauziah diletakkan di dalam sel berukuran 160 sentimer dan ketinggian 200 sentimeter.

"Sel itu cukup-cukup untuk tiga orang sahaja.

"Saya takut kerana saya masuk seorang diri dan saya mencari rakan-rakan saya yang lain," kata Dr Fauziah.


Dr Fauziah turut berkongsi detik cemas apabila saluran satelit disekat, sekali gus memutuskan segala komunikasi termasuk penggunaan aplikasi WhatsApp apabila di kawasan perairan kurang 50 batu nautika dari Gaza.

"Pada mulanya (saluran berita) Al-Jazeera masih membuat siaran langsung tetapi pada hari Rabu mereka tidak dapat berbuat demikian. Semua komunikasi disekat," katanya.

Bukan itu sahaja, Dr Fauziah turut menjelaskan bahawa segala alat dan peranti komunikasi seperti komputer riba dan iPad dicampak ke laut setelah mengesyaki kapal Israel menghampiri bot mereka.

"Memang tiada sebarang komunikasi langsung. Ini agar mereka tidak boleh dapat apa yang kami ada," katanya.


Selain itu, latihan dan persediaan dari segi minda dan fizikal banyak membantu Dr Fauziah untuk sentiasa dalam keadaan tenang, walaupun tahu akan hadapi pelbagai cabaran dan rintangan.

"Amat penting untuk kita menjadi seorang yang amat tenang kerana apabila kita tenang, kita tidak takut, tidak marah dan kita waras.

"Saya banyak doa agar tenang dan tidak ada ketakutan dan susah hati di dalam diri. Dan juga tenang apabila menghadapi apa-apa cabaran," katanya.


Beliau ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik tiba dari Bangkok menaiki penerbangan Tiger Air TG417 kira kira 7.47 malam.

Sebelum itu, Dr Fauziah menempuh penerbangan dari Tel Aviv, Israel ke Bangkok, dan ketika tiba di lapangan terbang di ibu kota Thailand itu, Dr Fauziah disambut suaminya, Prof Dr Alauddin Mohd Ali.