MALAYSIA
Dr Mahathir gesa umat Islam kuasai ilmu dan teknologi, jangan hanya sibuk isu kecil

Dr Mahathir berkata, kelemahan umat Islam hari ini berpunca daripada kegagalan menguasai ilmu serta membangunkan keupayaan sendiri untuk membela nasib saudara seagama. - Gambar fail/Sinar Harian
AMPANG: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik sikap sebahagian umat Islam yang terlalu memberi perhatian kepada isu kecil seperti riba, tetapi mengabaikan tuntutan besar agama iaitu mempertahankan sesama umat.
Ringkasan AI
- Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik umat Islam kerana terlalu menumpukan perhatian kepada isu kecil seperti riba tetapi mengabaikan tuntutan besar agama iaitu mempertahankan sesama umat, seperti yang berlaku di Gaza.
- Beliau menegaskan kelemahan umat Islam berpunca daripada kegagalan menguasai ilmu, teknologi dan senjata moden sejak abad ke-15.
- Dr Mahathir menekankan bahawa Islam perlu difahami secara menyeluruh dan bukan hanya tertumpu kepada perkara kecil yang tidak membawa kekuatan kepada masyarakat.
Menurut beliau, keadaan itu jelas dapat dilihat di Gaza apabila umat Islam dibunuh setiap hari tanpa sebarang kemampuan untuk menghalangnya.
“Di Gaza, umat Islam dibunuh setiap hari, setiap hari orang Yahudi membunuh antara 50 hingga 100 orang Islam dan kita tidak boleh berbuat apa-apa.
"Kita tidak mampu menghentikannya. Mengapa? Kerana kita tidak mempunyai keupayaan untuk melindungi saudara kita di Gaza,” tegasnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis pelancaran buku Surat-Surat Muhammad Asad yang belum disiarkan, di HARTA Space pada Sabtu.
Turut hadir menemaninya, Pengerusi Eksekutif Kumpulan HABIB, Datuk Sri Meer Habib; Pengasas dan Pengarah Islamic Renaissance Front (IRF), Malaysia Dr Ahmad Farouk Musa; dan Pengasas The Other Press Koya Kutty.
Tambah Dr Mahathir, umat Islam kini bergantung kepada kuasa luar kerana gagal menguasai teknologi dan pembangunan senjata moden, sedangkan hal itu amat penting bagi mempertahankan diri.
Beliau menjelaskan, kelemahan tersebut berpunca daripada kegagalan umat Islam menekuni ilmu sains dan matematik sejak abad ke-15 apabila lebih menumpukan kepada pengajian agama semata-mata.
“Kita sepatutnya mampu menghasilkan senjata sendiri supaya kita dapat melindungi umat Islam, dahulu, sudah tentu ada (Empayar) Uthmaniyah, ketika itu mereka sangat berkuasa, tiada siapa yang berani memandang rendah atau menindas umat Islam kerana ketika itu wujud kuasa Islam,” katanya.
Dr Mahathir turut menegaskan bahawa umat Islam sepatutnya memahami tuntutan agama secara menyeluruh, bukan hanya memilih perkara kecil yang akhirnya tidak membawa kekuatan kepada masyarakat.
Dalam majlis yang sama Dr Mahathir turut mengagumi pemikiran Muhammad Asad yang berjasa dalam menghasilkan tafsir Al-Quran yakni "The Message of the Qur'an".
“Asad tidak dilahirkan dalam keluarga Islam, beliau dilahirkan sebagai seorang Yahudi (Austria-Hungari), tetapi beliau menjadi seorang Muslim kerana beliau yakin,” katanya.
Tokoh berusia 100 tahun itu juga berkongsi petikan surat Asad kepada seorang rakan karibnya: “Inti pati Islam bukan sahaja terletak pada ritual semata-mata — tetapi pada visi moral yang dicetuskan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami