KUALA LUMPUR:Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengucapkan rasa syukur berikutan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) diluluskan di peringkat dasar hari ini.

"Alhamdulilah. Kita bersama bersepadu teruskan peperangan (menentang) COVID-19," katanya kepada Bernama menerusi aplikasi Whatsap hari ini.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) yakin semua Ahli Parlimen faham dengan situasi semasa pandemik COVID-19 dan situasi kewangan negara dan fokus sekarang ini ialah membendung penularan pandemik itu, serta memberi laluan ekonomi pulih dengan segera.

"Semoga dipermudahkan petugas barisan hadapan, untuk meneruskan usaha membendung dan menangani ancaman wabak COVID-19," katanya lagi.

Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) diluluskan di peringkat dasar hari ini.

Ia diluluskan dengan suara majoriti, selepas permohonan beberapa Ahli Parlimen untuk undi belah bahagian tidak berjaya apabila hanya 13 Ahli Parlimen yang bangun, kurang daripada jumlah diperlukan sebanyak 15 orang.

Belanjawan pertama kerajaan Perikatan Nasional berkenaan dibentang Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 Nov dan seramai 82 Ahli Parlimen terlibat dalam sesi perbahasan.

Peruntukan mencecah RM322.5 bilion dicadangkan di bawah belanjawan berkenaan, menjadikan ia jumlah terbesar dalam sejarah belanjawan negara ketika negara berhadapan dengan pandemik COVID-19 dan impaknya terhadap kehidupan rakyat dan ekonomi negara.

Dalam belanjawan itu, Tengku Zafrul mengumumkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM31.9 bilion kepada KKM iaitu kenaikan sebanyak 4.3 peratus berbanding peruntukan tahun lalu.

Selain itu petugas barisan hadapan KKM bakal menerima pemberian tambahan secara 'one-off' sebanyak RM500 sebagai tanda penghargaan kerajaan terhadap jasa anggota petugas barisan hadapan kementerian itu.

-- BERNAMA