NATIONAL
Dr Ravigadevi saintis pertama Malaysia dipilih sebagai Fellow Royal Society

Dr Ravigadevi Sambamhamutthi mencatat sejarah sebagai saintis pertama negara dipilih sebagai Fellow Royal Society, akademi sains tertua dan paling berprestij di dunia.
KUALA LUMPUR: Malaysia melakar satu lagi rekod gemilang dan bersejarah apabila seorang saintis tempatan, Dr Ravigadevi Sambamhamutthi dipilih sebagai Fellow Royal Society, akademi sains tertua dan paling berprestij di dunia.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam kenyataan yang dikeluarkan berkata, ini merupakan kali pertama seorang rakyat Malaysia menerima penghormatan tersebut sejak penubuhan Royal Society pada tahun 1660.
"Dr Ravigadevi akan diserapkan secara rasmi dalam majlis yang diadakan di London pada 11 Julai 2025, di mana beliau akan menandatangani Charter Book, dokumen bersejarah yang memuatkan tandatangan tokoh-tokoh sains ternama selama lebih tiga abad.
"D. Ravigadevi, seorang bioteknologi terkemuka dilantik sebagai Fellow Academy of Sciences Malaysia (ASM) pada 2010 dan kini memegang jawatan sebagai Pengerusi Biological, Agricultural and Environmental Sciences Discipline serta merupakan Fellow World Academy of Sciences."Sebagai bekas Pengarah Advanced Biotechnology and Breeding Centre di Malaysian Palm Oil Board (MPOB), beliau mengetuai penyelidikan dalam bidang biokimia dan genomik kelapa sawit. Inovasi beliau memberi impak global, terutamanya dalam meningkatkan hasil, kecekapan sumber, dan kelestarian alam sekitar," kata MOSTI pada Rabu.
Menurut MOSTI, antara pencapaian terbesar beliau ialah mengetuai pasukan yang berjaya menguraikan genom kelapa sawit satu kejayaan saintifik yang diterbitkan dalam jurnal berprestij Nature.
Kenyataan itu berkata, penemuan ini membawa kepada pengenalpastian gen SHELL yang memainkan peranan penting dalam menentukan hasil minyak.
"Berkat penemuan ini, ujian DNA kini boleh digunakan untuk memilih pokok yang lebih produktif, membantu petani meningkatkan hasil dengan penggunaan tanah yang lebih sedikit dan impak alam sekitar yang lebih rendah.
"Dr Ravigadevi juga berjaya mengenal pasti bioaktif bernilai dalam sisa kilang minyak sawit, yang sebelum ini dianggap sebagai bahan pencemar.
"Beliau membangunkan kaedah untuk mengekstrak sebatian ini, mengubah sisa kepada sumber bernilai dan mempromosikan ekonomi kitaran," ujar MOSTI.
Antara anugerah lain yang diterima beliau termasuk Knight of the International Order of Merit of Inventors oleh International Federation of Inventors Association (2009), Tan Sri Augustine Ong Lifetime Achievement Award for Inventions and Innovations in Oil Palm (2022), dan Intel Environment Laureate daripada Tech Museum Award, USA.
Sementara itu, Dr Ravigadevi menyifatkan pemilihan beliau sebagai penghormatan yang amat besar.
"Saya melihatnya bukan sebagai pencapaian peribadi, tetapi sebagai penghargaan kepada pasukan luar biasa yang saya bekerjasama.
"Kemajuan sains bukanlah hasil usaha seorang individu, tetapi produk visi, dedikasi dan kerjasama bersama. Ekosistem penyelidikan di MPOB dan kolaborator kami yang komited menjadikan semua ini realiti," ujar beliau.
Sementara itu, Menteri MOSTI, Chang Lih Kang memuji pencapaian ini dengan berkata, pemilihan Dr Ravigadevi sebagai Fellow Royal Society pertama Malaysia adalah detik kebanggaan untuk negara.
"Pengiktirafan ini bukan sahaja kejayaan peribadi, tetapi juga simbol apa yang Malaysia perjuangkan di bawah kerangka Malaysia MADANI, sebuah negara yang memacu kemakmuran melalui ilmu dan inovasi lestari.
"MOSTI akan terus membina ekosistem yang menyuburkan kecemerlangan, mempercepatkan impak, dan menempatkan Malaysia sebagai penyumbang di peringkat global," katanya.
Ditubuhkan pada 1660, Royal Society menghimpunkan tokoh-tokoh saintis paling berpengaruh dalam sejarah termasuk Isaac Newton, Charles Darwin, Albert Einstein dan Stephen Hawking.
Untuk tahun 2025, lebih 90 individu dari pelbagai negara seperti Malaysia, Singapura, Afrika Selatan, China, dan Switzerland dipilih sebagai Fellow.
The Guardian pernah menyifatkan anugerah ini sebagai “setaraf dengan Oscar Pencapaian Sepanjang Hayat.”
Penghormatan ini mengiktiraf sumbangan saintis dalam bidang masing-masing dan dianggap antara anugerah paling berprestij dalam komuniti saintifik.
Pemilihan Dr Ravigadevi juga memberi makna khusus kepada wanita dalam sains.
Royal Society hanya mula menerima wanita pada 1945, menjadikan pencapaian beliau sebagai simbol kemajuan dan inspirasi kepada saintis muda, terutamanya wanita dan mereka dari negara membangun.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami