KUALA LUMPUR:Draf Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan dengan peruntukan merekrut 'ejen provokasi' telah disediakan dan diteliti oleh Pejabat Peguam Negara.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abdul Rahim Bakri menegaskan, ketika ini tindakan menahan ejen tersebut bagi membantu siasatan dan memberi keterangan di mahkamah tidak bertentangan dengan Perlembagaan.

Dalam masa sama, katanya, mana-mana pihak yang mempunyai keraguan berhubung akta berkenaan boleh mengemukakan pertikaian di mahkamah.

"Apabila (pejabat) Peguam Negara (AG) membuat draf undang-undang ini, sudah tentu pihak AG telah pun mengambil kira keberkesanan undang-undang ini sama ada ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan atau pun tidak.

"Kita harus faham bahawa pendakwaan akhirnya akan dibuat oleh pejabat Peguam Negara dan peruntukan-peruntukabn yang terkandung di dalam ini adalah konsisten seperti mana juga terkandung dalam Seksyen 40 Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 342)," katanya di Dewan Rakyat, di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika penggulungan RUU Eksais (Pindaan) 2020 menjawab pertanyaan Gobind Singh Deo (PH-Puchong) berhubung kebimbangan sama ada khidmat ejen provokasi bertentangan dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata, khidmat ejen provokasi bertujuan untuk memperkemas dan meningkatkan usaha penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dalam menangani isu penyeludupan.

Ia sekali gus dapat meningkatkan keberkesanan KDRM dalam menjalankan operasi atau serbuan, tambah beliau,

Keterangan yang dibuat oleh ejen provokasi, jelas Abdul Karim, boleh diterima di mahkamah bagi tujuan pendakwaan.