Melaka perkenal tujuh inisiatif baharu 'Pay Less See More' tahun depan

Ab Rauf merasmikan Festival Seni Selat Melaka 2025 dan Festival Sungai Melaka 2025 malam tadi. - Facebook Ab Rauf Yusoh
MELAKA: Kerajaan negeri memperkenalkan tujuh inisiatif baharu di bawah konsep Pay Less See More pada tahun depan ke arah fasa pelancongan yang lebih progresif sempena Tahun Melawat Melaka dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Ringkasan AI
- Tujuh inisiatif pelancongan baharu diperkenalkan di bawah konsep 'Pay Less See More' bagi menarik lebih ramai pelancong sempena Tahun Melawat Melaka dan Malaysia 2026, termasuk Pakej Bersepadu Pelancongan Melaka dan Melaka Smart Tourist Card (MSTC).
- Antara tarikan utama ialah Hop On Hop Off Cruise, Cruise and Cultural Pass, serta Taste of Melaka Trail yang menawarkan pengalaman pelancongan, kebudayaan dan makanan tempatan pada harga berpatutan.
- Inisiatif khas seperti tiket percuma dan diskaun untuk pelajar turut diperkenalkan bagi memperkukuh pelancongan warisan dan menjadikan Melaka contoh kecemerlangan pelancongan di Malaysia.
Beliau berkata Melaka Smart Tourist Card (MSTC) juga akan dilancarkan sebagai pas yang membolehkan pelancong menikmati diskaun di pelbagai lokasi dan tempat tarikan utama lain di negeri itu.
"Selain itu, kita akan perkenalkan pakej Hop On Hop Off Cruise iaitu pengunjung boleh meletak kenderaan di kawasan yang disediakan dan naik serta turun dari mana-mana jeti Melaka River Cruise.
"Syaratnya pengguna mesti membeli pas cruise sehari atau tiga hari pada satu harga yang murah dan boleh digunakan dari pagi hingga malam, serta menginap di hotel atau homestay berhampiran di sepanjang Sungai Melaka," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Festival Seni Selat Melaka 2025 dan Festival Sungai Melaka 2025.
Ab Rauf berkata Cruise and Cultural Pass menawarkan tiket menaiki Melaka River Cruise dan lawatan ke Kampung Morten atau Panggung Bangsawan bagi menyaksikan persembahan kebudayaan turut diperkenalkan.
Beliau berkata pelancong turut diberi baucar bernilai antara RM20 hingga RM30 yang boleh digunakan untuk mencuba makanan ikonik seperti asam pedas, cendol, kuih keria dan banyak lagi di bawah inisiatif Taste of Melaka Trail @ Sungai Melaka.
"Bagi pelancong yang menginap selama tiga hari dua malam di Melaka pula, kita akan perkenalkan inisiatif hotel dan penginapan yang mana mereka akan mendapat tiket percuma ke Melaka River Cruise, Eco Cruise Sungai Linggi, Eco Cruise Tasik Chin Chin atau Menara Taming Sari.
"Selain itu, pemberian diskaun khas kepada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi untuk melawat tempat bersejarah turut diperkenalkan di bawah inisiatif warisan dan pendidikan menerusi Cultural Pass for Students," katanya.
Beliau berkata kesemua inisiatif yang akan dilaksanakan pada tahun depan itu merupakan antara usaha progresif kerajaan negeri bagi memastikan Melaka dikenali sebagai negeri contoh yang menjadi penanda aras kecemerlangan pelancongan Malaysia dan bukan sekadar menjadi penyumbang kecil dalam agenda budaya serta pelancongan.
Sementara itu, Ab Rauf berkata sebanyak 13.5 juta pelancong direkodkan ke Melaka dari 1 Jan hingga 30 Sept lepas, meningkat 25 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas sekali gus memberi impak besar pada ekonomi, sosial dan imej negeri itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


