ALOR SETAR:Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP di Kedah dipanggil polis pada Jumaat bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan di bekas tapak kuil berdekatan Stesen KTM Alor Setar, di sini.

ADUN Derga yang juga Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew ketika dihubungi hari ini mengesahkan beliau bersama Adun Kota Darul Aman, Teh Swee Leong telah dipanggil dan disoal siasat selama 45 minit berhubung kes berkenaan.

Menurutnya, tindakan itu didakwa mempunyai kaitan dengan sekeping gambar upacara yang diadakan di tapak kuil berkenaan selepas ia dirobohkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada Julai tahun lalu.

Tambahnya, ada pihak yang telah membuat laporan polis dengan mendakwa mereka menyertai satu perhimpunan haram yang diadakan di lokasi berkenaan.

Sebelum itu, Tan menerusi satu muatnaik dalam akaun Facebook miliknya mempersoalkan layanan dan nasib diterima Adun dari parti berkenaan selepas bergelar "Adun Pembangkang".

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir mengesahkan dua individu terbabit telah dipanggil bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Jelas beliau, polis akan membuka siasatan mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.