KUCHING: Dua anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad boleh didakwa di mahkamah sekiranya gagal mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, setakat ini SPRM masih lagi belum menerima notis pengisytiharan harta daripada Mirzan dan Tan Sri Mohkzani.

Katanya, sehingga kini SPRM masih menunggu notis pengisytiharan daripada dua ahli perniagaan berkenaan selepas menyerahkan notis mengikut Seksyen 36 Akta SPRM 2009 itu kepada kedua-duanya pada bulan lalu.

"Kalau tidak membuat pengisytiharan dalam tempoh yang ditetapkan, mereka boleh dituduh gagal mengisytiharkan harta.

"Tetapi mereka boleh membuat permohonan selepas tempoh yang diberikan tamat (pertengahan bulan ini)," katanya pada sidang akhbar selepas Program Cakna Rasuah Bersama Pengamal Media Sarawak di Kuching pada Selasa.

SPRM pada 18 Januari lalu dilaporkan meminta Mirzan mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada dalam pegangannya sama ada di dalam atau di luar negara dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis.

Selepas itu, Mokhzani pula disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Mengulas lanjut, Azam menegaskan, pengisytiharan harta adalah salah satu daripada skop siasatan tersebut yang turut ambil kira banyak lagi perkara lain.

"Ini bermakna pendakwaan terhadap mereka lambat lagi kerana kita perlu melengkapkan siasatan dahulu," ujar beliau.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian