MALAYSIA
Dua anggota polis kritikal dalam insiden helikopter terhempas ketika latihan - KPN

Anggota polis dan APMM menyelamatkan mangsa helikopter PDRM yang terlibat dalam kemalangan ketika ketika menjalani latihan keselamatan serantau MITSATOM 2025. -Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Dua daripada lima anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terlibat dalam insiden helikopter terhempas di perairan Sungai Pulai, Gelang Patah pagi Khamis dilaporkan dalam keadaan kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan.
Ringkasan AI
- Lima anggota PDRM terlibat dalam insiden helikopter terhempas di perairan Sungai Pulai, Gelang Patah ketika menjalani latihan keselamatan serantau MITSATOM 2025.
- Dua mangsa dilaporkan kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan, manakala tiga lagi dalam keadaan stabil dan dirawat di Hospital Sultanah Aminah.
- Siasatan menyeluruh akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara, dan orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan spekulasi atau video insiden bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.
Menurut beliau, insiden membabitkan helikopter jenis AS355N dengan nombor pendaftaran 9M-PHG milik PDRM itu berlaku ketika pelaksanaan latihan keselamatan serantau sempena Nuclear Security Detection Exercise Malaysia-Indonesia-Thailand-Singapore 2025 (MITSATOM 2025).
“Helikopter berkenaan berlepas dari Balai Polis Tanjung Kupang pada pukul 9.51 pagi dan kemalangan dilaporkan berlaku kira-kira pukul 10.25 pagi di kawasan Jeti Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Gelang Patah," katanya.
Ujar beliau, pesawat berkenaan membawa lima anggota PDRM terdiri daripada dua pegawai kanan dan tiga anggota polis termasuk juruterbang dari Pasukan Gerakan Udara PDRM, Bukit Aman serta anggota dari Balai Polis Tanjung Kupang.
"Kesemua mangsa, iaitu tiga lelaki dan dua wanita, berjaya diselamatkan oleh Pasukan Polis Marin dan dibawa ke Jeti APMM sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk pemeriksaan serta rawatan lanjut," tambahnya.
Sebagai langkah susulan, Mohd Khalid berkata siasatan menyeluruh akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan selaras dengan peraturan penerbangan yang ditetapkan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi penyelamat yang terlibat termasuk APMM dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) atas tindakan pantas dan kerjasama yang diberikan dalam operasi menyelamatkan mangsa.
Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan video insiden berkenaan bagi mengelakkan gangguan kepada siasatan serta menjaga sensitiviti keluarga mangsa.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami