Dua anggota polis tidak mengaku salah peras ugut orang awam

Lans Koperal Sharif Abu Hurairah Abu Bakar dan Konstabel Mohammad Nashrul Alif Alahuddin tidak mengaku salah atas kesalahan melakukan pemerasan berjumlah RM200 ke atas orang awam pada September lalu. - Gambar Astro AWANI
BALING: Dua anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling tidak mengaku salah atas kesalahan melakukan pemerasan berjumlah RM200 ke atas orang awam pada September lalu.
Tertuduh Lans Koperal Sharif Abu Hurairah Abu Bakar, 24, dan Konstabel Mohammad Nashrul Alif Alahuddin, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Baling, Rohaida Ishak.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh secara bersama didakwa dengan sengaja melakukan pemerasan terhadap seorang lelaki bernama Zulqadiri Mohd Sabri, 32, di tepi Jalan Parit Panjang, Kampung Asam Jawa, Pulai, pada jam 7.38 malam, 19 September lalu.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu bagi mendatangkan ketakutan kepada mangsa untuk mendorongnya menyerahkan hartanya iaitu wang tunai RM200.Berikutan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun, denda atau sebat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirul Halimi Md Salleh, manakala tertuduh diwakili peguam S Shathishbhabu.
Pendakwaan kemudian meminta mahkamah menetapkan ikat jamin ke atas setiap tertuduh ditetapkan pada kadar RM8,000 seorang.
Bagaimanapun, Shathishbhabu meminta kadar lebih rendah dikenakan berikutan kedua-dua anak guamnya yang bertugas di IPD Baling hanya menerima gaji kira-kira RM2,000 sebulan.
Jelasnya, anak guamnya juga memberi kerjasama sepenuhnya dalam siasatan kes berkenaan dan turut hadir sendiri ke mahkamah selepas diberi jaminan polis sebelum ini.
Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin RM3,000 setiap seorang dan seorang penjamin dengan tarikh 27 November bagi proses sebutan semula dan serahan dokumen.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami