IPOH: Dua beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima tuduhan melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata pisau dan parang, bulan lalu.

Ahmad Fazrin Naharoddin, 31 tahun, dan adiknya Mohamad Hafiz, 28 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Fazrin didakwa merompak dua unit telefon bimbit dan wang tunai RM130 milik seorang wanita, di sebuah kedai di Taman Seri Meru, kira-kira jam 9 malam, 5 Okt lalu.

Dia turut didakwa bersama seorang seorang yang masih bebas merompak wang tunai RM216 dan sebentuk cincin emas milik seorang wanita di sebuah farmasi di Jalan Tun Abdul Razak, kira-kira jam 12.30 tengah hari, keesokkannya.

Dia sekali lagi didakwa bersama seorang yang masih bebas, merompak RM400, kad pengenalan dan kad bank milik seorang wanita  di sebuah kedai di Taman Perindustrian Menglembu Jaya, kira-kira jam 6.30 petang, 17 Okt lalu.

Ahmad Fazrin turut didakwa bersama-sama adiknya, Mohamad Hafiz melakukan rompakan berkumpulan terhadap dua wanita lain di Desa Rishah Indah dan Desa Rishah Menglembu, pada 12 dan 23 Okt lalu.

Bagi kesemua pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 397 akta sama.

Seksyen 395 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Bagi Seksyen 397 Kanun Keseksaan pula, memperuntukkan hukuman sebat, selain dari apa-apa hukuman yang boleh dikenakan di bawah mana-mana seksyen lain kanun ini.

Mahkamah membenarkan Ahmad Fazrin diikat jamin RM25,000 untuk kesemua pertuduhan manakala Mohamad Hafiz RM10,000 dan menetapkan 11 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Evangelin Simon Silvaraj dan Qurratu’aini Khalifah manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam R R Segaran.

Sementara itu, Ahmad Fazrin turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret berasingan atas tuduhan melakukan pecah rumah di Taman Mei Kin, Pasir Puteh, antara jam 8.30 pagi hingga 1.30 petang, 20 Okt lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda, dan jika kesalahan dimaksudkan mencuri, hendaklah dilanjutkan hukuman penjara sehingga 14 tahun.

Di mahkamah sama, Mohamad Hafiz didakwa mengedar dadah berbahaya jenis heroin seberat 34.87 gram, di tepi Jalan Rapat Baru, kira-kira jam 4.45 petang, 23 Okt 2023.

Dia didakwa di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.

Tiada pengakuan direkodkan dan tertuduh tidak ditawarkan jaminan kerana kes melibatkan hukuman mati.

Dia turut didakwa mencuri bekas syiling berisi RM500 dari sebuah kedai di Taman Rasi Jaya, Menglembu pada 17 Okt dan mencuri tabung derma milik masjid dan surau di sebuah kedai menjual santan di Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan 2, pada 14 September lalu.

Bagi kedua-dua tuduhan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun dengan denda atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua atau yang kemudian, boleh dikenakan penjara dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.

Mahkamah juga menetapkan 11 Januari 2024 sebagai tarikh sebutan semula semua kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Nabilah Norzam dan Nurul Hidayu Zakaria manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam R R Segaran.