KUALA LUMPUR: Dua beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memberi rasuah RM25,000 kepada seorang penolong penguasa polis bagi mengelak daripada dikenakan tindakan berhubung pengedaran minuman keras tanpa cukai.

Pembantu kedai, A. Ragubathi, 42, dan abangnya, A. Vijayakumar, 47, yang juga pengarah syarikat didakwa dengan niat bersama secara rasuah memberikan suapan iaitu wang berjumlah RM25,000 kepada Penolong Penguasa Polis ASP Suhaimi Omar, 47, yang bertugas di Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas Pasukan Gerakan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini.

Suapan itu sebagai dorongan agar Suhaimi melepaskan kedua-dua tertuduh daripada dikenakan tindakan di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967 kerana kesalahan mengedar minuman keras tanpa cukai sah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Plaza Metro Prima, Kepong, di sini, pada 28 Jun lepas mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Irna Juliza Maaras menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh selain memohon syarat tambahan melapor diri di SPRM Selangor sebulan sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam R.Mahendran Naidu yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya masih dalam jaminan SPRM sebanyak RM10,000 seorang, selain telah melaporkan diri ke pejabat SPRM Selangor setiap bulan sejak siasatan bermula.

"Anak guam merupakan pasangan adik-beradik dan menjaga ibu mereka yang perlu mendapatkan rawatan akibat penyakit strok pada setiap bulan," katanya.

Hakim Azura Alwi membenarkan dua lelaki itu masing-masing diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti yang dimohon pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 23 Mei ini untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA